Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Capai Persetujuan Dengan Vietnam Tentang Penjualan Pesawat Pejuang F-16 ??

Jika spekulasi tentang perolehan pesawat pejuang F-16 oleh Vietnam itu terbukti benar, ia juga adalah suatu perkembangan amat yang besar memandangkan negara Asia Tenggara itu pernah berperang dengan Amerika Syarikat kira-kira 50 tahun yang lalu, mengorbankan ribuan penduduknya.

0 3,607
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Vietnam dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi sejumlah pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat, bagi memperkuatkan tentera udaranya yang kini bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia.
Jika spekulasi tentang perolehan pesawat pejuang F-16 oleh Vietnam itu terbukti benar, ia juga adalah suatu perkembangan amat yang besar memandangkan negara Asia Tenggara itu pernah berperang dengan Amerika Syarikat kira-kira 50 tahun yang lalu, mengorbankan ribuan penduduknya.

“Selepas melalui rundingan yang panjang, Vietnam akhirnya bakal menjadi pelanggan pesawat pejuang F-16 yang terbaru,” menurut portal berita pertahanan antarabangsa yang memetik sumber-sumbernya terdiri daripada industri pertahanan Amerika Syarikat dan pegawai negara itu yang mempunyai pengetahuan berkenaan perkara itu.

“Tiada jumlah rasmi dinyatakan setakat ini, namun perolehan (pesawat pejuang F-16) itu dijangka melibatkan sekurang-kurangnya 24 buah pesawat.”

“Sekiranya pesawat F-16 ini digabungkan dengan platform lain yang turut ingin diperoleh Vietnam daripada Amerika Syarikat, ia berkemungkinan menjadi perjanjian pertahanan terbesar pernah dimeterai antara kedua-dua negara itu,” menurut portal berita pertahanan antarabangsa itu.
Pada 2023, laporan-laporan media mula tersebar menyatakan bahawa Vietnam sedang berbincang dengan Amerika Syarikat untuk memeterai pakej penjualan senjata terbesar antara kedua-dua negara yang pernah berperang antara satu sama lain kira-kira 50 tahun yang lalu.
Ketika Presiden Jo Biden melawat Vietnam pada 2023, kedua-dua pihak dilaporkan telah mengadakan perbincangan awal tentang pakej penjualan senjata itu.
F-16
Pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat
Adalah sesuatu yang amat menarik apabila Vietnam yang pernah berperang dengan Amerika Syarikat sehingga mengakibatkan ratusan ribu rakyatnya terkorban, akan menggunakan sistem persenjataan buatan syarikat Amerika untuk “mempertahankan dirinya” kini.
Washington hanya membatalkan sekatan penjualan senjata terhadap Vietnam pada 2016.
Hubungan di antara Washington dan Hanoi selepas berakhirnya Perang Vietnam hampir lima dekad yang lalu semakin rapat dan ia menjadi semakin erat beberapa tahun kebelakangan ini akibat“diikat”  oleh isu Laut China Selatan.
Sumber-sumber yang rapat dengan rundingan antara Washington dan Hanoi memberitahu agensi berita Reuters bahawa pakej penjualan senjata itu berkemungkinan melibatkan perolehan pesawat pejuang F-16 kepada Vietnam.
Sumber itu juga berkata bahawa Washington sedang mempertimbangkan pakej kewangan mudah dan “murah” bagi membantu Vietnam membeli senjata-senjata buatan syarikatnya, sekaligus “meninggalkan” senjata-senjata buatan Russia yang digunakan oleh angkatan tenteranya selama ini.
Moscow membekalkan hampir 80 peratus daripada bekalan senjata Vietnam.
Vietnam
Pesawat pejuang Sukhoi Su-27 Tentera Udara Vietnam
Perolehan F-16 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu oleh Vietnam itu sudah pasti adalah suatu detik bersejarah kerana Tentera Udara Vietnam selama ini adalah pengguna tegar pesawat-pesawat pejuang buatan Russia seperti Su-30, Su-27 dan Su-22.  
Washington dijangka akan menawarkan varian F-16 Block 70 “Viper” yang merupakan varian paling terkini pesawat itu, dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan dan juga radar AESA (Active Electronically Scanned Array), mission computer yang baru dan pelbagai peningkatan lain.
Walaupun masih dikategorikan sebagai pesawat pejuang generasi ke-4, namun varian terkini F-16 Block 70 “Viper” itu dilengkapi dengan beberapa teknologi generasi kelima.
Namun, laporan media pada tahun lepas menyatakan bahawa Vietnam terpaksa melupakan hasratnya untuk memperolehi F-16 daripada Amerika Syarikat kerana bimbang pembelian pesawat pejuang itu akan menjejaskan hubungannya dengan negara-negara lain termasuk China.
Sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Reuters, Vietnam juga bimbang Amerika Syarikat tidak akan membekalkan peluru-peluru berpandu untuk digunakan oleh pesawat pejuang F-16 sekira ia memperolehinya.
Hanoi bukan sahaja bimbangkan reaksi daripada China sekiranya ia memperolehi pesawat pejuang F-16, tetapi negara Asia Tenggara itu juga mungkin bimbang akan reaksi daripada Russia yang menjadi pembekal senjata kepada Vietnam sejak sekian lama.
F-16
F-16V Block 70/72 dibangunkan oleh Lockheed Martin
Pada November tahun lepas, Vietnam dilaporkan telah menerima lima buah pesawat latihan tentera Beechcraft T-6C Texan II, yang merupakan pesawat tentera pertama yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada negara Asia Tenggara.
Pesawat Beechcraft T-6 Texan II adalah pesawat enjin tunggal turboprop yang dibina oleh Textron Aviation dan digunakan untuk latihan juruterbang, terutamanya bagi mereka yang menerbangkan jet pejuang Amerika Syarikat seperti F-16.
Pemerolehan pesawat latihan ini oleh Vietnam memberi petunjuk kemungkinan pembelian F-16 pada masa depan untuk memodenkan tentera udaranya yang secara tradisional bergantung kepada peralatan buatan Soviet.
Menurut pengeluar, T-6 Texan II adalah pesawat latihan ketenteraan generasi baharu yang direka untuk semua peringkat latihan.
Vietnam dilaporkan telah memesan 12 buah pesawat T-6C Texan II, varian eksport T-6, pada 2021, yang dilihat pemerhati sebagai langkah besar sejak tamatnya Perang Vietnam.
Vietnam
Beechcraft T-6C Texan II dibangunkan oleh Textron Aviation
Brigadier Jeneral Sarah Russ dari Tentera Udara Pasifik Amerika Syarikat (PACAF) berkata kepada media Vietnam bahawa pesawat latihan itu akan dihantar dalam tempoh 2024-2027.
“Kedatangan pesawat Beechcraft ini merupakan langkah kecil tetapi penting dalam hubungan pertahanan Vietnam dan Amerika Syarikat,” kata Ian Storey, felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura.
“Namun, masih belum pasti sama ada Vietnam akan membeli pesawat-pesawat seperti F-16 dari Amerika Syarikat atau terus bergantung kepada rakan kongsi yang lebih dipercayai seperti Rusia,” tambahnya.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.