Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Akhirnya, Jerman Setuju Penjualan 40 Buah Pesawat Pejuang Eurofighter Typhoon Pada Turkiye

Bercakap kepada stesen televisyen TV100, Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler berkata kerajaan Jerman pada mulanya membantah penjualan 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye, tetapi akhirnya bersetuju selepas didesak oleh negara-negara Eropah yang membangunkan pesawat pejuang itu.

10,198
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler mengumumkan bahawa Jerman telah memberi lampu hijau kepada penjualan 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada negara Mediterranean.
Dengan pengumuman itu, Jerman telah mengugurkan bantahannya terhadap cadangan perolehan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Turkiye.
Bercakap kepada stesen televisyen TV100, Guler berkata kerajaan Jerman pada mulanya membantah penjualan pesawat pejuang terbabit kepada Turkiye tetapi akhirnya bersetuju selepas didesak oleh negara-negara Eropah yang membangunkan Eurofighter Typhoon.
“Kami akan membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon. Jerman telah membantah penjualan itu untuk suatu jangka masa yang lama tetapi akhirnya bersetuju selepas rakan-rakan NATO seperti Itali, United Kingdom dan Sepanyol mendesak, akhirnya Jerman bersetuju,” kata Menteri Pertahanan Turkiye itu.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara, Jerman, United Kingdom, Sepanyol dan Itali.
Typhoon
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Kerajaan Jerman masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai persetujuan negara itu terhadap penjualan 40 buah pesawar pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye itu.
Turkiye telah lama menaruh minat untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu untuk meningkatkan lagi kemampuan tentera udaranya, tetapi hasratnya itu telah dihalang oleh Jerman.
Jerman turut dikatakan enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 40,000 orang.
Presiden Turkiye Recep Tayyep Edrogan mendesak Canselor Jerman Olaf Scholz supaya mengugurkan tentangannya terhadap penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Ankara.
Pada Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter mengesahkan bahawa Turkiye menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon tetapi ia telah dihalang oleh kerajaan Jerman.
Giancarlo Mezzanatto mengesahkan bahawa Turkiye mahu memperolehi di antara 40 hingga 50 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu, berkemungkinan daripada varian terkininya, tetapi usaha itu dihalang oleh Jerman.

TYPHOON

Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter warga Itali itu berkata tindakan Jerman menghalang Turkiye daripada memperolehi pesawat pejuang itu berkemungkinan kerana tidak berpuashati dengan tindakan Ankara melakukan carigali gas asli di perairan Timur Mediterranean.
Tindakan Turkiye melakukan aktiviti carigali gas di perairan Timur Mediterranean telah meningkatkan ketegangan dikalangan negara-negara jirannya,terutama Greek dan Cyprus serta sekutu-sekutunya.
 Pada November tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan dengan negara-negara konsortium pembuat pesawat Eurofighter Typhoon terutamanya Britain untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”
Bagaimanapun halangan daripada Jerman telah membantutkan hasrat Turkiye untuk memiliki pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.
Walaupun Amerika Syarikat telah memberikan kelulusan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit permodenan bernilai US$23 billion (RM103 billion), Turkiye mengekalkan minatnya terhadap pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Kesatuan-kesatuan sekerja di Jerman mendesak kerajaan negara itu supaya meluluskan dengan segera permohonan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Turkey
Baru-baru ini, Ketua Turus Angkatan Tentera Turkiye, Jeneral Metin Gurak, melawat United Kingdom, di mana beliau melawat RAF Coningsby, sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja yang menempatkan jet pejuang Eurofighter Typhoon.

 

Mereka bimbang “penolakan” permohonan kerajaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Jerman akan menyebabkan industri pertahanan negara Eropah itu kehilangan ribuan pekerjaan.
Turkiye mahu memperolehi varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon iaitu “Tranche 4.”
Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 
Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. — DSA

 

Comments are closed.