Akhirnya, Argentina Beli 24 Buah Pesawat Terpakai F-16. Tunduk Pada Tekanan Amerika?
Washington dipercayai telah menggunakan pelbagai tekanan terhadap kerajaan Argentina untuk memilih pesawat terpakai F-16 dan tidak memilih varian terkini pesawat JF-17 Block 3 yang ditawarkan oleh China bersama-sama pakej ekonomi menarik yang lain.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Akhirnya negara Amerika Latin, Argentina telah menandatangani perjanjian untuk membeli 24 buah pesawat pejuang terpakai F-16 milik Denmark, sekaligus menamatkan impian China dan India yang masing-masing cuba menjual pesawat pejuang JF-17 “Thunder” dan Tejas kepada negara kelahiran Lionel Messi itu.
Perjanjian penjualan pesawat terpakai F-16 milik Denmark itu mendapat lampu hijau daripada Amerika Syarikat sebagai pengeluar pesawat pejuang itu, sekaligus membolehkan kontrak penjualan itu direalisasikan.
Washington dipercayai telah menggunakan pelbagai tekanan terhadap kerajaan Argentina untuk memilih pesawat terpakai F-16 dan tidak memilih varian terkini pesawat JF-17 Block 3 yang ditawarkan oleh China bersama-sama pakej ekonomi menarik yang lain.
Amerika bimbang sekiranya Argentina memilih pesawat pejuang JF-17 itu, ia akan memberikan Beijing “tapak” di benua Amerika Latin bagi meluaskan lagi pengaruhnya di sebuah benua yang terletak berhampiran dengan Amerika Syarikat.
Menteri Pertahanan Argentina Luis Petri dan rakan sejawatannya daripada Denmark Troels Lund Poulsen telah menandatangani surat niat terhadap penjualan pesawat F-16 itu di Buenos Aires pada 26 Mac lepas.
“Denmark telah menyumbang 19 buah pesawat pejuang F-16 kepada Ukraine dan kerajaan telah memutuskan untuk menjual 24 buah F-16 kepada Argentina.”
“Penjualan pesawat pejuang F-16 milik Denmark itu dilakukan dengan kerjasama rapat daripada kerajaan Amerika Syarikat yang telah meluluskan penjualan itu,” kata Kementerian Pertahanan Denmark dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Argentina dipercayai terpaksa membayar US$320 juta (RM1.5 billion) untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F-16 terpakai milik Denmark itu.
Mengambilalih tempat F-16 itu, Tentera Udara Denmark akan menggunakan pesawat pejuang generasi kelima, F-35.
Amerika Syarikat dilaporkan telah meningkatkan “tekanan” terhadap Argentina supaya menolak tawaran penjualan pesawat pejuang JF-17 buatan China/Pakistan dan Tejas LCA oleh India, sebaliknya memilih pesawat terpakai F-16A/B milik Denmark untuk tentera udaranya.
Sebab utama peningkatan tekanan oleh Washington supaya Buenos Aires memilih F-16 itu adalah untuk memastikan Argentina tidak memilih pesawat pejuang JF-17 Block 3 yang dibangunkan oleh China/Pakistan serta Tejas LCA oleh India.
Amerika Syarikat percaya sekiranya Argentina memilih pesawat pejuang JF-17, ia akan memberikan peluang kepada Beijing untuk “bertapak” di negara itu, sebelum meluaskan pengaruh politik dan ketenteraannya ke keseluruhan rantau Amerika Selatan.
Pentadbiran Presiden Jo Biden tidak mahu melihat Beijing meluaskan pengaruhnya di negara-negara Amerika Selatan dan sebab itulah ia bertindak menekan Argentina supaya membeli pesawat terpakai F-16 yang sebelum ini digunakan oleh Denmark.
Untuk memastikan perkara itu tidak berlaku, Washington menawarkan sejumlah 24 pesawat pejuang F-16A/B milik Denmark yang telah tamat khidmat kepada Argentina, walaupun daripada segi teknikalnya adalah jelas bahawa pesawat pejuang JF-17 Block 3 yang dilengkapi oleh radar AESA dan pelbagai peralatan moden adalah jauh berkemampuan berbanding varian awal F-16 Amerika itu.
Argentina sedang berusaha mencari pesawat-pesawat pejuang baru untuk menggantikan pesawat pejuang Mirage yang telah ditamatkan khidmat oleh tentera udara negara itu pada 2015.
Pada ketika ini, Tentera Udara Argentina dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 10 buah pesawat pejuang A-4 Skyhawk dan pesawat latihan IA-63 Pampa.
Sebelum ini, Buenos Aires bercadang membeli pesawat pejuang FA-50 daripada Korea Selatan tetapi cadangan itu tidak dapat diteruskan berikutan sekatan senjata yang dikenakan oleh United Kingdom terhadap Argentina akibat Perang Falklands yang berlaku sebelum ini.
Walaupun pesawat FA-50 itu buatan Korea Selatan, namun pesawat itu memiliki banyak komponen dan peralatan buatan syarikat-syarikat United Kingdom, menyebabkan ia tertakluk pada sekatan senjata oleh United Kingdom itu dan tidak boleh dijual kepada Argentina.
Sekatan senjata oleh United Kingdom itu menyebabkan Argentina telah melihat kepada pesawat-pesawat pejuang lain yang dihasilkan oleh China, Pakistan dan India serta MiG-35 yang dibangunkan oleh Russia, sebagai alternatif kepada pesawat-pesawat pejuang yang memiliki komponen syarikat United Kingdom.
Walaupun pesawat pejuang F-16 itu turut menggunakan komponen dan peralatan dihasilkan syarikat United Kingdom, namun Amerika Syarikat memberi jaminan bahawa United Kingdom bersetuju untuk menggugurkan sekatan senjata itu bagi membolehkan Argentina membelinya.
Kesemuanya adalah semata-mata untuk mengelak Buenos Aires memilih pesawat pejuang JF-17 buatan China dan Pakistan. — DSA
Comments are closed.