HMS Triumph, Kapal Selam Kelas Trafalgar Terakhir Tentera Laut Diraja Britain Ditamatkan Perkhidmatan

Penamatan ini turut menandakan penghujung bagi era “T-boat”, iaitu gelaran ikonik bagi tujuh buah kapal selam kelas Trafalgar yang menjadi tulang belakang kekuatan bawah permukaan Tentera Laut Diraja sejak lebih empat dekad lalu.

0
Tentera Laut Diraja Britain secara rasmi menamatkan perkhidmatan HMS Triumph, kapal selam serangan berkuasa nuklear terakhir kelas Trafalgar, sekaligus menandakan tamatnya era penting dalam sejarah peperangan bawah laut United Kingdom.
Penamatan ini turut menandakan penghujung bagi era “T-boat”, iaitu gelaran ikonik bagi tujuh buah kapal selam kelas Trafalgar yang menjadi tulang belakang kekuatan bawah permukaan Tentera Laut Diraja sejak lebih empat dekad lalu.
Majlis penamatan perkhidmatan HMS Triumph telah diadakan di Pangkalan Tentera Laut Devonport, Plymouth, yang sekian lama menjadi pangkalan utama kepada armada kapal selam kelas Trafalgar.
Upacara itu menyaksikan kehadiran kru HMS Triumph serta HMS Talent, pegawai dan veteran Perkhidmatan Kapal Selam, serta ahli Persatuan Tentera Laut Diraja bagi memberi penghormatan terakhir kepada legasi kapal selam itu.
Perbarisan penuh istiadat turut diadakan di HMS Drake yang menampilkan kawalan kehormat dan kumpulan warna terdiri daripada anggota kapal selam Triumph dan Talent, bersama kontingen veteran yang pernah berkhidmat dalam armada T-class.
Antara tetamu kehormat ialah Kapten Dave Burrell, pegawai kanan Tentera Laut Diraja yang berkhidmat lama dalam kapal selam kelas tersebut, serta Lady Hamilton, penaung rasmi HMS Triumph sejak ia ditauliahkan.
Lebih mengharukan, veteran Perang Dunia Kedua, John Harlow, yang pernah berkhidmat dalam kapal selam T-class terdahulu seperti HMS Truculent turut hadir sebagai tetamu kehormat untuk menyaksikan generasi terakhir kapal selam era Perang Dingin melabuhkan tirai.
HMS Triumph
HMS Triumph
“Mereka adalah pejuang terakhir era Perang Dingin, walaupun hakikatnya Perang Dingin tidak pernah benar-benar berakhir. Kami terus bermain permainan berbahaya itu,” kata Kapten Burrell dalam ucapannya yang penuh emosi.
Mengenang kembali pengalaman pertamanya di atas HMS Tireless pada tahun 2003, beliau menggambarkan kapal selam itu sebagai “keajaiban teknologi” dan menyifatkan krunya sebagai “sumber inspirasi.”
HMS Triumph ditauliahkan pada tahun 1991, ketika blok Soviet sedang runtuh, namun ketegangan bawah laut masih kekal kritikal dalam landskap keselamatan global.
Sepanjang perkhidmatannya selama 34 tahun, HMS Triumph menjalankan pelbagai misi strategik—dari serangan peluru berpandu, pengumpulan risikan, hingga operasi khas di kawasan konflik bergolak seperti Afghanistan, Iraq dan Libya.
HMS Triumph merupakan yang terakhir beroperasi daripada tujuh kapal selam kelas Trafalgar—termasuk HMS Trafalgar, Turbulent, Tireless, Torbay, Trenchant dan Talent—yang direka pada kemuncak Perang Dingin untuk mengesan dan memusnahkan kapal selam Soviet.
Direka bentuk untuk menghadapi ancaman kapal selam berkuasa tinggi Soviet seperti kelas Alfa dan Akula, T-boats kemudiannya berevolusi menjadi platform pelbagai guna termasuk operasi khas dan serangan peluru berpandu jarak jauh.
Setiap kapal berukuran 280 kaki panjang dan memiliki anjakan (displacement) 5,300 tan apabila menyelam, dikuasakan oleh reaktor nuklear air bertekanan Rolls-Royce PWR1 yang digandingkan dengan sistem pendorongan pump-jet, membolehkan kelajuan selam melebihi 32 knot (59 km/j).
Kapal ini dilengkapi lima tiub torpedo berkaliber 21 inci yang mampu membawa sehingga 30 torpedo berat jenis Spearfish, selain peluru berpandu Tomahawk Land Attack Missile (TLAM) jenis UGM-109 dengan jarak tembakan melebihi 1,900 kilometer.
Antara pencapaian paling luar biasa HMS Triumph ialah pelayaran solo sejauh 41,000 batu nautika ke Australia pada tahun 1993—rekod perjalanan terpanjang tanpa timbul oleh kapal selam nuklear Britain.
HMS Trafalgar menjadi kapal selam pertama kelasnya yang melancarkan peluru berpandu Tomahawk ketika operasi menentang Taliban dan al-Qaeda di Afghanistan pada tahun 2001.
HMS Triumph turut menyertai operasi itu dan memainkan peranan penting dalam melancarkan peluru berpandu TLAM ke sasaran strategik.
Dalam Operasi Telic 2003, HMS Turbulent menembak 30 peluru berpandu Tomahawk semasa serangan ke atas Iraq, dan pulang ke pangkalannya dengan bendera Jolly Roger berkibar sebagai simbol kejayaan dalam pertempuran.
Pada tahun 2011, HMS Triumph sekali lagi mengulangi peranannya dengan melancarkan enam peluru berpandu ke arah sistem pertahanan udara Libya ketika Operasi Unified Protector NATO.
Selepas misi tersebut, HMS Triumph kembali ke Devonport dengan enam tanda peluru berpandu pada cerobong dan mengibarkan Jolly Roger, satu tradisi lama Tentera Laut Diraja untuk menunjukkan kejayaan operasi bersenjata.
Selain operasi ketenteraan terbuka, kapal selam kelas Trafalgar juga digunakan untuk misi khas rahsia, termasuk penghantaran unit khas seperti Special Boat Service (SBS) ke kawasan musuh tanpa dikesan.
Kapal selam ini berperanan penting sebagai platform pengumpulan risikan, termasuk misi mengintip laluan kapal musuh dan meletakkan sensor dasar laut, yang kesemuanya kekal sulit sehingga kini.
HMS Triumph melakukan pelayaran terakhirnya ke Devonport pada Disember 2024, sekali gus menandakan tamatnya era Trafalgar dan permulaan dominasi kapal selam kelas Astute dalam armada Britain.
Kelas Astute yang lebih moden—termasuk HMS Ambush, Artful dan Audacious—menawarkan kemampuan lebih tinggi dari segi kebisingan akustik rendah, kapasiti persenjataan lebih besar dan tempoh operasi yang lebih lama.
HMS Achilles dijangka menjadi kapal terakhir kelas Astute yang akan ditauliahkan dalam beberapa tahun akan datang.
Namun, walaupun kapal selam kelas Astute kini mengemudi masa depan, United Kingdom telah mula merangka pengganti kepada kelas itu menerusi program SSN-AUKUS yang akan dibina bersama Australia dan Amerika Syarikat.
SSN-AUKUS dijangka menggabungkan reka bentuk British dengan teknologi nuklear dan senjata Amerika, menjadikan ia kapal selam generasi baharu yang akan menjadi tunjang kekuatan bawah laut UK dan sekutunya sehingga dekad 2060-an.
Dalam era persaingan kuasa besar yang semakin meningkat—terutama dengan kemunculan semula armada laut Rusia di Atlantik Utara dan kehadiran agresif China di Indo-Pasifik—penguasaan bawah laut menjadi semakin penting dalam strategi NATO.
Penamatan perkhidmatan HMS Triumph bukan sekadar menamatkan kitaran hayat sebuah kapal, tetapi ia merupakan penutup tirai kepada era “pejuang senyap” Perang Dingin Britain.
Mengakhiri ucapannya dengan penuh emosi, Kapten Burrell berkata:
“Sudah tiba masanya untuk Trafalgar, Turbulent, Tireless, Torbay, Trenchant, Talent dan Triumph berehat dengan tenang. Kini tiba giliran generasi seterusnya mengambil alih tugas.”

Leave a Reply