Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ahli Parlimen Perancis Persoal Sistem EW SPECTRA Gagal Lindungi Rafale Dari Ditembak Jatuh Pakistan

Ahli Parlimen Perancis, Marc Chavent, secara rasmi mengemukakan soalan bertulis kepada Kementerian Hal Ehwal Eropah dan Luar Negeri Perancis berhubung dakwaan kegagalan sistem SPECTRA EW itu berdasarkan maklumat risikan NATO dan analisis pakar pertahanan Amerika Syarikat.

0 482
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kredibiliti sistem Peperangan Elektronik (EW) SPECTRA, kini menjadi perhatian selepas ia didakwa gagal melindungi pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India (IAF) dalam satu pertempuran udara dengan pesawat pejuang J-10C Pakistan awal Mei lalu.
Ahli Parlimen Perancis, Marc Chavent, secara rasmi mengemukakan soalan bertulis kepada Kementerian Hal Ehwal Eropah dan Luar Negeri Perancis berhubung dakwaan kegagalan sistem SPECTRA EW itu berdasarkan maklumat risikan NATO dan analisis pakar pertahanan Amerika Syarikat.
Menurut beliau, sistem SPECTRA yang dibangunkan oleh Thales tidak berjaya mengesan atau mengganggu serangan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E yang dilancarkan oleh pesawat J-10C Tentera Udara Pakistan yang dilengkapi radar AESA KLJ-10A.
“Pertempuran ini menimbulkan persoalan strategik yang besar: sistem peperangan elektronik SPECTRA dilihat gagal mengesan mahupun mengganggu serangan yang beroperasi pada spektrum baharu radar dengan kebarangkalian pemintasan yang rendah,” tulis Chavent dalam soalannya.
Pertempuran udara berintensiti tinggi selama 87 jam antara pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan itu didakwa menyaksikan sekurang-kurangnya satu pesawat Rafale ditembak jatuh, menjadikannya kemungkinan insiden tempur pertama melibatkan kehilangan pesawat pejuang tersebut sejak ia mula berkhidmat dengan Tentera Udara Perancis dan pelbagai tentera udara negara lain di seluruh dunia.
Laporan CNN menyatakan bahawa maklumat berkenaan kehilangan pesawat pejuang Rafale itu disahkan oleh seorang pegawai risikan kanan Perancis, namun Kementerian Pertahanan India masih enggan mengesahkan jenis pesawat yang terkorban.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bloomberg di Singapura baru-baru ini, Ketua Turus Pertahanan India (CDS), Jeneral Anil Chauhan, buat kali pertama mengesahkan bahawa India telah kehilangan beberapa pesawat tempur dalam konflik tersebut.
India Rafale
Rafale Tentera Udara India
Walaupun beliau tidak menyatakan jumlah pesawat yang terlibat, Chauhan berkata, “Isunya bukan sama ada pesawat ditembak jatuh, tetapi kenapa ia berlaku.”
“Jumlah pesawat tidak penting,” tambahnya sambil menjelaskan bahawa kesilapan taktikal telah dikenal pasti dan diperbetulkan, membolehkan India melancarkan serangan balas tepat jarak jauh dalam masa 48 jam menggunakan pelbagai pesawat tempurnya.
Kenyataan beliau mengesahkan dakwaan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif bahawa enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India telah ditembak jatuh pada konflik Pakistan-India awal bulan lepas.
Kementerian Luar Pakistan mendakwa bahawa tiga Rafale, satu Su-30MKI, satu MiG-29 dan satu Mirage 2000 milik India telah ditembak jatuh pada hari-hari awal konflik itu menggunakan peluru berpandu PL-15E yang dilancarkan oleh pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan (PAF).
“Mitos kehebatan pesawat Rafale telah runtuh, dan jelas bahawa juruterbang India gagal mengendalikan pesawat mereka dengan berkesan,” kata Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar.
Menurut beberapa sumber ketenteraan, kesemua pesawat India tersebut berkemungkinan besar telah dikunci sasaran dan ditembak oleh J-10C PAF menggunakan peluru berpandu PL-15, antara peluru berpandu BVR paling canggih di dunia ketika ini.
J-10C, yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC), kini merupakan tunjang utama kepada kekuatan tempur udara moden Pakistan.
Jika kehilangan Rafale disahkan, ia akan menjadi satu tamparan besar kepada reputasi pesawat buatan Dassault Aviation, yang dipromosikan sebagai pesawat pelbagai peranan paling dipercayai abad ini.
Indian Rafale
Rafale Tentera Udara India
Lebih membimbangkan, kegagalan SPECTRA (Self-Protection Equipment to Counter Threats for Rafale Aircraft) untuk mengesan atau meneutralkan peluru berpandu jarak jauh PL-15E menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem tersebut dalam persekitaran peperangan elektromagnetik yang semakin kompleks—terutama terhadap radar moden jenis low probability of intercept (LPI).
PL-15E, versi eksport kepada peluru berpandu PL-15 buatan China, mempunyai jangkauan melebihi 145km, menggunakan pautan panduan radar AESA, dan kini menjadi elemen penting dalam rangkaian pembunuhan (kill chain) udara-ke-udara Pakistan melalui pesawat pejuang J-10C.
Chavent turut bertanya sama ada versi Rafale F5 yang dijangka memasuki fasa pembangunan penuh pada 2026–2027 akan dilengkapi versi baharu SPECTRA yang mampu menangkis ancaman dalam spektrum elektromagnetik LPI moden.
Pakej naik taraf F5 dirancang untuk menyertakan pengoperasian berpasukan dengan dron, integrasi senjata generasi baharu, serta peningkatan keupayaan halimunan melalui tangki bahan api konformal dan pengurangan keratan rentas radar, bagi mengekalkan relevansi Rafale hingga tahun 2060.
Chavent turut mengusulkan agar Perancis mempertimbangkan pembangunan varian peperangan elektronik khas  Rafale, seumpama EA-18G Growler Tentera Laut Amerika Syarikat, untuk misi SEAD/DEAD bagi menangani ancaman pertahanan udara di rantau Indo-Pasifik.
“Cadangan ini menjadi semakin mendesak memandangkan kehadiran pesawat generasi kelima China seperti J-20 dan kemungkinan J-35A yang mampu dikerahkan dalam masa singkat ke rantau ini, menawarkan keupayaan baharu dalam aspek kehaliman, penderiaan gabungan, peperangan elektronik dan operasi pelbagai domain,” kata Chavent.
Ancaman pesat daripada pesawat halimunan generasi kelima China serta peningkatan kerjasama sistem pertahanan antara Pakistan dan Beijing telah mengubah secara dramatik keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan dan sekitarnya.
SPECTRA, yang dibangunkan oleh Thales dan MBDA, sebelum ini dianggap antara sistem perlindungan paling canggih di dunia, dengan keupayaan mengesan dan mengenal pasti ancaman jarak jauh termasuk dari spektrum inframerah, elektromagnet dan laser.
Indian Rafale
Rafale Tentera Udara India
J-10C
Pesawat pejuang  J-10C Pakistan dengan peluru berpandu PL-15
Sistem ini merangkumi pengesan radar, penderia peluru berpandu dan laser, jammer susunan fasa serta sistem pelepasan umpan (chaff/flare) bagi perlindungan penuh 360 darjah dalam pertempuran pelbagai domain.
Komponen utamanya ialah unit pengurusan data dan tindak balas yang membolehkan juruterbang menerima maklumat ancaman secara masa nyata dan bertindak dengan pantas tanpa kehilangan kesedaran situasi.
Namun, kegagalan sistem ini mengesan peluru berpandu berpanduan radar seperti PL-15E telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis ketenteraan dan negara pembeli seperti Greece, Mesir, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah menandatangani kontrak perolehan pesawat pejuang Rafale bernilai berbilion dolar.
Dengan peningkatan kerjasama antara pesawat pejuang China dan Pakistan menerusi latihan bersama dan perkongsian risikan serta pembinaan doktrin bersama berasaskan rangkaian, kelemahan sistem perang elektronik Barat seperti SPECTRA boleh mengganggu keseimbangan kuasa udara serantau.
Bagi India, yang melihat Rafale sebagai tulang belakang kuasa udara menentang Pakistan dan China, sebarang kelemahan dalam sistem avionik itu boleh melemahkan kredibiliti pesawat-pesawatnya yang ditempatkan  di kawasan panas seperti Ladakh, Kashmir dan Laut Arab.
Rafale F5 dijangka menjadi jambatan antara pesawat generasi 4.5 dan generasi keenam, namun keberkesanannya sangat bergantung kepada keupayaan Perancis untuk menaik taraf SPECTRA agar mampu menangani ancaman peluru berpandu berpanduan radar AESA, jarak jauh dan pelbagai spektrum.
Dalam persekitaran Indo-Pasifik yang kini menjadi medan ujian teknologi peperangan elektronik dan peluru berpandu generasi baharu, isu SPECTRA bukan sekadar menyentuh tentang kelemahan teknikal—ia merupakan ujian sebenar kepada keberkesanan sistem persenjataan Barat dalam era dominasi peluru berpandu dan sistem pertahanan China.
Indian Rafale
Rafale Tentera Udara India

Sistem SPECTRA (Self-Protection Equipment to Counter Threats for Rafale Aircraft)

SPECTRA ialah sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare – EW) termaju yang dibangunkan secara bersama oleh Thales Group dan MBDA untuk pesawat pejuang Rafale buatan Dassault Aviation.

Apakah Itu SPECTRA EW?

SPECTRA ialah sistem pertahanan diri elektronik sepenuhnya yang direka khas untuk melindungi pesawat Rafale daripada pelbagai jenis ancaman seperti peluru berpandu berpanduan radar, laser, inframerah, serta serangan dari sistem pertahanan udara musuh.
Sistem ini bertindak sebagai “perisai elektronik pintar” untuk pesawat, membolehkan juruterbang mengelak, mengganggu atau meneutralkan ancaman tanpa perlu mengorbankan tumpuan terhadap misi utama.

Komponen Penting

Antara komponen terpenting ialah Radar Warning Receiver (RWR) yang berfungsi mengesan dan mengenal pasti isyarat radar yang dipancarkan oleh sistem pertahanan udara musuh serta memberikan amaran awal kepada juruterbang sebelum pesawat dikunci sebagai sasaran.
Turut melengkapi sistem ini ialah Laser Warning Receiver (LWR) yang mengesan pancaran laser dari sistem penjejak atau penembak musuh, termasuk peluru berpandu berpanduan laser, seterusnya memberi amaran terhadap ancaman yang biasanya tidak dapat dikesan oleh radar konvensional.
Missile Warning System (MWS) pula menggunakan penderia inframerah pasif untuk mengesan sebarang peluru berpandu yang dilancarkan ke arah pesawat, dan mengaktifkan tindak balas automatik seperti pelepasan flare atau manuver elakan bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup.
Bagi tujuan gangguan isyarat musuh, sistem ini turut dilengkapi Phased Array Jammer yang mampu mengelirukan radar musuh secara aktif dan beroperasi dalam pelbagai arah secara serentak untuk memberikan perlindungan maksimum.
India
Rafale
PL-15E
Peluru berpandu PL-15E
Selain itu, chaff dan flare dispensers digunakan untuk mengelirukan peluru berpandu berpanduan radar dan inframerah, di mana chaff ialah serpihan logam halus yang dilepaskan ke udara manakala flare pula ialah suar haba yang bertindak mengganggu sistem penjejakan haba peluru berpandu.
Kesemua maklumat ancaman yang diterima daripada sistem-sistem ini akan diproses oleh Data Fusion and Threat Management Unit, iaitu pusat kawalan yang menggabungkan data secara masa nyata, menetapkan keutamaan terhadap ancaman paling kritikal dan menyarankan tindakan balas yang optimum kepada juruterbang.

Kelebihannya

Antara kelebihan utama sistem SPECTRA ialah keupayaannya memberi liputan 360 darjah sepenuhnya tanpa perlu menolehkan pesawat, serta kemampuannya beroperasi dalam mod pasif tanpa memancarkan isyarat, menjadikannya ideal untuk misi siluman dan operasi taktikal rahsia.
Sistem ini juga mampu mengendalikan pelbagai ancaman secara serentak, termasuk dalam persekitaran peperangan elektronik yang kompleks, dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebolehselamatan pesawat Rafale ketika beroperasi dalam misi berisiko tinggi seperti SEAD/DEAD yang mensasarkan pertahanan udara musuh.
DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave a Reply