Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Tambak Pulau Batu Puteh. Apa Kesan Pada Malaysia?

Daripada sebuah batuan (rocks) di tengah laluan maritim yang sibuk, terdapat kemungkinan Pulau Batu Puteh selepas akan menjadi sebuah “pulau buatan manusia”

0 3,358

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Julai lepas, media-media Singapura mengatakan bahawa republik itu akan mula melakukan kerja-kerja penambakan (reclamation) terhadap Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), yang akan menyaksikan saiz batuan kecil maritim tidak jauh daripada pantai Johor tetapi milik republik itu,  diperbesarkan untuk sekurang-kurangnya  tujuh hektar lagi.

Daripada sebuah batuan (rocks) di tengah laluan maritim yang sibuk,  Pulau Batu Puteh kemungkinan selepas  kerja-kerja penambakan selesai dijalankan akan menjadi sebuah “pulau buatan manusia” (man-made island), sebagaimana yang dilakukan oleh China terhadap beberapa batuan dan atoll di Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel di Laut China Selatan.

Sejak China menduduki beberapa terumbu karang, atoll secara haram di kedua-dua kepulauan itu pada 2012-2013, Beijing telah melakukan penambakan secara agresif dan menukarnya kepada pulau-pulau buatan manusia yang amat strategik di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa yang amat sibuk.

Bukan sekadar menjadikannya “pulau-pulau buatan manusia” untuk dihuni manusia tetapi Beijing dibawah pentadbiran Presiden Xi Jinping juga membangunkannya untuk menjadi pangkalan-pangkalan tentera “terapung” yang lengkap bagi mengukuhkan penguasaannya di Laut China Selatan.

Penganalisis antarabangsa mengatakan tidak ada cara lain untuk memaksa China meninggalkan “pulau-pulau buatan manusia” yang didudukinya secara haram di Laut China Selatan kecuali peperangan. (ramai mengatakan ia bakal mencetuskan Perang Dunia Ketiga).

Pulau
Fiery Cross Reef di Kepulauan Sprtaly selepas kerja-kerja penambakan oleh China.

 

Persoalannya kini adalah – adakah Singapura mengambil contoh daripada tindakan agresif China di Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly dan melakukan tindakan yang sama terhadap Pulau Batu Puteh yang kini menjadi miliknya berikutan keputusan Mahkamah ICJ pada 2008?

Adakah kita sedang melihat permulaan kepada usaha Singapura untuk menjadikan Pulau Batu Puteh itu sebuah “pulau buatan manusia”, sebagaimana yang dilakukan oleh China di Mischief Reef, Fiery Cross Reef, Subi Reef dan lain-lain.

Adakah Batu Puteh bakal bertukar untuk menjadi sebuah pangkalan tentera laut Singapura pada masa depan, menjadi military outpost di tengah-tengah laluan perdagangan yang sibuk?

Semua pihak kena ambil pendekatan tunggu dan lihat pada masa ini.

Bagi Singapura pula, alasan utama disebalik kerja-kerja penambakan Pulau Batu Puteh itu yang akan mengambil masa beberapa tahun adalah kerana ia merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan di batuan itu termasuk membolehkan kapal berlabuh, sistem komunikasi, sokongan pentadbiran dan lain-lain.

Usaha pembangunan Batu Puteh menurut republik itu adalah untuk meningkatkan keselamatan maritim dan kemampuan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terbabit.

“Kerja-kerja penambakan akan dilakukan di dalam kawasan 0.5 batu nautika Pulau Batu Puteh dan di dalam kawasan perairan Singapura di pulau terbabit. Satu batu nautika adalah kira-kira 1.85km.”

“Semua kerja-kerja yang dilakukan adalah selari dengan undang-undang Singapura serta undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Pembangunan Nasional (MND) republik itu sebagaimana dipetik oleh akhbar Singapore Straits Times.

Fiery Cross
Fiery Cross Reef juga adalah pangkalan utama tentera China di Laut China Selatan.

 

Pada 2008, Mahkamah Antarabangsa di The Hague memutuskan Pulau Batu Puteh itu dimiliki oleh Singapura manakala Middle Rocks pula milik Malaysia.

Apabila Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan semakan semula terhadap keputusan ICJ pada 2018 itu, republik itu kini adalah secara 

 Singapura kini meneruskan kerja-kerja pembangunan di Batu Puteh itu termasuk menjalankan kerja-kerja penambakan.

Menurut akhbar Singapore Straits Times lagi, pada ketika ini batuan yang terletak kira-kira 44km daripada Singapura menempatkan Rumah Api Horsburgh, helipad, kemudahan desalinasi, kemudahan vessel traffic information system, menara komunikasi dan lain-lain.

Sementara itu seorang pakar undang-undang maritim tempatan dalam laporan berita tempatan berkata, Malaysia tidak boleh membiarkan Singapura melakukan aktiviti menambak tanah di sekitar Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca selagi kedua-dua negara tidak memuktamadkan garis sempadan maritim di perairan itu.

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata jika Singapura berterusan menambak Pulau Batu Puteh, dikhuatiri lama-kelamaan ia menjadi sebuah pulau yang menepati takrifan Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (LOSC).

Beliau berkata, berdasarkan Artikel 121 (1) LOSC, sesebuah negara pesisir yang memiliki pulau boleh menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika.

Bagaimanapun admin berpendapat, pulau buatan manusia tidak boleh menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika kerana “keistimewaan” itu hanya diperolehi oleh pulau-pulau yang terbentuk secara semulajadi.

Dr Mohd Hazmi berkata, pada masa kini, katanya, Pulau Batu Puteh hanya berstatus batu maritim dan berdasarkan Artikel 121 (3), negara jiran itu boleh menuntut hak wilayah laut sejauh 12 batu nautika saja.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...