Pesawat Su-30, Su-24 Russia Lakukan “Simulasi Serangan” Terhadap Kapal Friget Belanda Di Laut Hitam
Pesawat-pesawat Russia yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-darat dan bom itu melakukan simulasi serangan udara terhadap kapal friget Belanda dengan terbang begitu rendah bermula daripada 3.30 petang dan berlanjutan sehingga 8.30 malam.
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Selama hampir lima jam pada Khamis lepas, kapal friget Tentera Laut Belanda HNLMS Evertsen terpaksa berhadapan gangguan (harassed) oleh pesawat-pesawat pejuang Su-30SM dan Su-24 Tentera Udara Russia yang melakukan simulasi serangan terhadapnya di perairan antarabangsa di Laut Hitam.
Pesawat-pesawat Russia yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-darat dan bom itu melakukan serangan udara olok-olok terhadap kapal friget pertahanan udara Belanda dengan terbang begitu rendah bermula daripada 3.30 petang dan berlanjutan sehingga 8.30 malam.
Kementerian Pertahanan Belanda dalam satu kenyataan berkata pesawat-pesawat pejuang Russia itu beberapa kali terbang rendah berhampiran HNLMS Evertsen yang berada di perairan antarabangsa pada ketika itu dan melakukan simulasi serangan.
Beberapa keping gambar insiden “gangguan” oleh pesawat-pesawat pejuang Russia itu diturut diberikan kepada media.
Terdapat juga laporan mengatakan pesawat-pesawat Russia itu melakukan serangan elektronik terhadap kapal perang Belanda itu.
Kapal HNLMS Evertsen merupakan kapal friget pertahanan udara (air defence frigate).
Sementara itu media Russia berkata bahawa kapal perang Belanda itu pada mulanya berada di perairan neutral di Laut Hitam sebelum menukar laluan dan mula belayar ke Selat Kerch.
“Untuk mengelak sebarang pelanggaran sempadan oleh kapal friget Belanda itu, pesawat-pesawat pejuang Su-30 dan Su-24 diarahkan berlepas,” menurut media Russia itu.
Kapal perang Belanda itu dan kapal perang British HMS Defender terlibat dalam pelayaran FONOP di perairan Crimea di Laut Hitam pada hari berkenaan.
Sebagaimana yang kita tahu, HMS Defender terlibat dalam insiden mencemaskan dengan kapal-kapal peronda serta pesawat pejuang Russia yang mendakwa kapal perang Barat itu menceroboh perairan Crimea yang didakwa Russia sebagai miliknya.
Kapal-kapal peronda Russia didakwa melepaskan tembakan amaran terhadap HMS Defender, manakala pesawat pejuang negara itu mengugurkan beberapa butir OFAB-250 bom untuk memaksa kapal itu menukar pelayarannya dan menjauhi perairan Crimea.
— DEFENCE SECURITY ASIA