KF-21 “Boramae” Dilengkapi Peluru Berpandu BVRAAM Paling Berbahaya Dunia “Meteor”
Agensi perolehan persenjataan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Adminstration (DAPA) telah menandatangani perjanjian dengan MBDA untuk perolehan 100 buah peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” bagi kegunaan pesawat pejuang KF-21 “Boramae”.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi 4.5 yang sedang dibangunkan oleh Korea Selatan, KF-21 “Boramae” bakal dilengkapi dengan salah satu peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh paling berbahaya di pasaran ketika ini, “Meteor” yang dibangunkan oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.
Agensi perolehan persenjataan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Adminstration (DAPA) telah menandatangani perjanjian dengan MBDA untuk perolehan 100 buah peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” bagi kegunaan pesawat pejuang KF-21 “Boramae”.
100 peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “Meteor” itu adakan untuk kegunaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 yang sedang dibina oleh syarikat pembuat, Korea Aerospace Industries (KAI).
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “Meteor” yang dipandu menggunakan radar(radar guided) itu dilaporkan berkemampuan meluncur selaju Mach 4 dan membedil sasaran udara sejauh 200km.
“Meteor” adalah peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) dan boleh diintergrasikan dengan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Eurofighter Typhoon, Gripen, Rafale,F-35 dan kini KF-21 “Boramae”.
Panjang keseluruhan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “Meteor” adalah 3.65 meter.
Pesawat pejuang KF-21 itu telah pun menjalankan ujian pelancaran peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” pada tahun lepas.
KAI akan membina kumpulan pertama 20 buah pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”, bagi membolehkan pesawat pejuang itu beroperasi untuk Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) pada 2026.
Kontrak pembinaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 Block 10 bernilai USD$1.41 bilion (RM6.65 billion) itu telah ditandatangani di antara KAI dengan agensi kerajaan Korea Selatan, DAPA.
“Dibawah perjanjian itu, KAI akan menghasilkan 20 unit pesawat pejuang itu dan menyediakan bantuan lojistik, manual teknikal dan latihan. Pesawat-pesawat pejuang itu akan berkhidmat untuk ROKAF pada akhir tahun 2026,” menurut laporan media Korea Selatan.
Program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu dilaporkan telah mencapai 80 peratus siap pada ketika ini.
Syarikat Hanwha Aerospace pula telah menandatangani kontrak untuk membekalkan 40 unit enjin General Electric F414-GE-400 bagi digunakan oleh kumpulan pertama 20 buah pesawat pejuang KF-21 itu.
Enjin pertama akan dihasilkan menjelang 2025 daripada kilang syarikat terbabit di Changwon.
ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 100 hingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.
Korea Selatan bercadang menjadikan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu sebagai “tulang belakang” ROKAF, yang akan memainkan peranan penting sekiranya berlaku peperangan di Semenananjung Korea.
Pesawat prototaip KF-21 itu telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).
KAI merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina dan Poland serta Malaysia.
Dengan anggaran harga per-unit pada US$65 juta (RM306 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 10) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA