Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas China, Empat Buah Kapal Perang Russia Pula Akan Berlabuh Di Pulau Pinang

Difahamkan kapal-kapal perang Russia itu berkunjung ke Pulau Pinang untuk menyertai majlis memperingati ulangtahun ke-110 karamnya kapal kruiser Russia “Zhemchug” yang akan berlangsung di Pelabuhan George Town esok.

0 7,847
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Hanya beberapa hari selepas Pulau Pinang menerima kunjungan dua buah kapal perang China, empat lagi buah kapal perang daripada Armada Pasifik Tentera Laut Russia pula akan berlabuh di negeri itu bermula hari ini sehingga Rabu.
Difahamkan kapal-kapal perang Russia itu berkunjung ke Pulau Pinang untuk menyertai majlis memperingati ulangtahun ke-110 karamnya kapal kruiser Russia, “Zhemchug” yang akan berlangsung di Pelabuhan George Town esok.
Kapal perang Russia, “Zhemchug” (Pearl) karam dalam Battle of Penang ketika Perang Dunia Perang selepas ia dibedil oleh kapal perang Jerman, SMS Emden menyebabkan 88 orang anak kapalnya terbunuh.
Antara yang dijangka hadir pada majlis sambutan esok adalah Duta Persekutuan Russia ke Malaysia Nalyl Latypov dan Captain 1st Rank Alexei Antisiferov.
Menurut laporan media tempatan pula, kerajaan Malaysia telah memberikan kebenaran kepada kapal-kapal perang Russia itu untuk berlabuh di Pulau Pinang.
Kapal-kapal perang daripada Armada Pasifik Russia yang akan berlabuh di Pulau Pinang itu dipercayai adalah korvet Gromkiy, Rezkiy, Aldar Tsydenzhapopv dan kapal bekalan bahan api, Pechenga.
Russia
Kapal korvet Russia “Gromkiy”
Laporan media tempatan menyatakan Kementerian Luar telah menggariskan beberapa peraturan tempatan dan angkatan tentera yang perlu dipatuhi oleh kapal-kapal perang Russia itu ketika berada di Malaysia.
“Ketika kapal-kapal perang Russia itu berlabuh, penggunaan peralatan elektronik perlu dikurangkan kepada tahap minimum dan penjagaan keselamatan kapal-kapal itu serta anak-anak kapalnya perlu dilakukan.”
“Sebarang kos semasa usaha berlabuh itu adalah dibawah tanggungan kerajaan Persekutuan Russia,” menurutnya dan menambah, kehadiran kapal-kapal perang Russia itu memberikan peluang kepada Kementerian Luar untuk menjalin hubungan yang lebih baik dengan Moscow.
Beberapa hari lalu, dua kapal latihan milik People’s Liberation Army Navy (PLAN) Task Group 83,  Qi Jiguang dan Jinggang Shan melaksanakan ‘port-call’ di Pelabuhan George Town.
Bekas timbalan menteri pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz mengkritik kunjungan kedua-dua buah kapal milik Tentera Laut China, sambil menyatakan bahawa sambutan kerajaan Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet PLAN baru-baru ini merupakan sesuatu yang di luar norma kebiasaan.
Russia
Kapal korvet Russia “Rezkiy”
China
Kunjungan dua buah kapal perang China di Pulau Pinang minggu lepas.
“Saya juga sangat musykil akan pemilihan pelabuhan Pulau Pinang oleh Task Group 83 dari RRC ini sebagai pelabuhan persinggahan berbanding pelabuhan lain di Malaysia seperti di Pelabuhan Klang ataupun Pelabuhan Langkawi,” kata Ikmal yang juga ahli parlimen Tanah Merah.
Tambah Ikmal, sambutan luar biasa oleh kerajaan Pulau Pinang menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
“Ini mengambil kira PLAN China ini secara 24 jam meletakkan aset kapal tentera laut mereka dengan disokong oleh pasukan pengawal pantai RRC di kawasan Beting Patinggi Ali dalam usaha mereka menuntut wilayah berkenaan sebagai wilayah laut RRC,” katanya.
Dilaporkan Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang menerima kunjungan hormat daripada dua komander kapal berkenaan, selain kelasi dan kadet Tentera Laut RRC turut melawat sekolah swasta Chung Ling High.
Bekas Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula berkata, sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang disifatkan ‘tidak masuk akal’ terutama ketika perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak diceroboh oleh aset negara berkenaan. — DSA

Comments
Loading...