Helikopter Leonardo AW149 Pengganti Nuri Patuhi Spesifikasi ATM
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter AW149 yang bakal diterima pihak TUDM adalah berbeza sama sekali dengan helikopter daripada jenis sama untuk kegunaan awam.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Helikopter Leonardo AW149 yang bakal menggantikan Nuri atau Sikorsky S-61 bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah varian ketenteraan dan mematuhi spesifikasi yang digariskan oleh Angkatan Tentera (ATM).
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter AW149 yang bakal diterima pihak TUDM adalah berbeza sama sekali dengan helikopter daripada jenis sama untuk kegunaan awam.
Menurutnya, helikopter tersebut cukup sesuai untuk melaksanakan tiga penugasan utama iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) serta utiliti.
“Jika kita memilih untuk mendapatkan helikopter jenis lain, kita mungkin perlu berbelanja lebih. Lagi pun kos operasi Leonardo AW149 ini juga mungkin lebih rendah daripada helikopter jenis lain.
“Jadi pertimbangan sewajarnya telah dibuat dalam hal ini dan di pihak TUDM, kami tiada isu dengannnya,” kata beliau.

Mengulas lanjut Mohd. Asghar berkata, helikopter AW149 bakal diperolehi secara sewa beli dengan pihaknya tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan terhadapnya.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyatakan bahawa rancangan perolehan helikopter baru untuk TUDM bagi menggantikan Nuri melibatkan perolehan sebanyak 24 buah helikopter dilaksanakan secara berfasa.
“Fasa 1 libatkan 12 unit helikopter (untuk varian) Combat Search And Rescue (CSAR) berkeupayaan utiliti dan Fasa 2 adalah 12 buah lagi helikopter,” katanya.
Menurut beliau, program itu diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.
“Jenis helikopter yang telah dimuktamadkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Awam Swasta kepada TUDM adalah 12 unit… Pada ketika ini, kita melihat kepada Leonardo AW149 yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan misi CSAR serta penugasan utiliti,” katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan.

