Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Derma Senjata Bernilai RM75 juta Kepada Filipina

0 915

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah mendermakan pelbagai senjata bernilai US$18 juta (RM75.6 juta) kepada kerajaan Filipina bagi membantunya menangani ancaman militan Islam di selatan negara itu.

Sistem persenjataan itu termasuk bom-bom pintar (precision guided munitions) diserahkan kepada Menteri Luar Filipina Teddy “Boy” Locsin oleh Penasihat Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Robert O’ Brien.

Menurut Locsin, penyerahan sistem berteknologi tinggi itu adalah berikutan janji yang dibuat oleh Presiden Donald Trump kepada Presiden Rodrigo Duterte dalam satu perbualan telefon antara kedua-dua mereka pada April lepas.

Antara senjata yang didermakan oleh Amerika Syarikat kepada Filipina termasuk, 100 peluru berpandu anti kereta kebal/bunker TOW-2 bersama-sama 12 unit sistem pelancarnya,  24 GBU-49 Enhanced Paveway II Laser Guided Bombs  dan 12 unit sistem pencarian sasaran (target acquisition) dan pelbagai alat-alat bantuan yang lain.

Filipina
Menteri Luar Filipina Teddy Locsin sedang melihat sistem pelancar peluru berpandu “TOW 2.” (foto internet)

Alat-alat bantuan ini mungkin melibatkan peralatan yang sensitif untuk pasukan-pasukan khas atau perisikan, sebab itulah ia tidak  diumumkan.

Bom-bom pintar GBU-49 Enhanced Paveway 2 itu akan digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang FA-50 Tentera Udara Filipina.

Filipina
Pesawat FA-50 Tentera Udara Filipina. (foto internet)

Tentera Udara Filipina memiliki 12 buah pesawat FA-50.

Penghantaran peralatan senjata ke Manila itu dilakukan oleh sebuah pesawat pengangkut Amerika Syarikat.

Paveway
Bom pintar “GBU-49 Enhanced Paveway 2”. (foto internet)

Sementara itu O’ Brien berkata, derma senjata itu membuktikan kerjasama dan setiakawan antara dua negara sahabat.

“Kami berharap pelbagai senjata pintar itu akan membantu Tentera Filipina dalam menjaga keselamatan rakyat Filipina di Mindanao serta menangani ancaman ISIS di Asia Timur,” kata penasihat keselamatan dalam negeri Amerika Syarikat itu.

Imigresen
Tentera Amerika melancarkan peluru berpandu anti-kereta kebal/bunker “TOW 2”. (foto internet)

O’Brien sedang di dalam lawatan ke Asia Tenggara, termasuk Vietnam.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...