Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sistem EW Russia, “Krasukha” vs Dron Turki. Siapa Pemenang?

0 665

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun tidak didedahkan kepada umum, tetapi Russia dipercayai mengerahkan sistem peperangan elektroniknya ke Syria dan Libya untuk menangani serangan yang dilancarkan oleh pesawat-pesawat tanpa pemandu (UAV) terutamanya daripada Turki.

Perkara sama juga dipercayai berlaku di Nagorno-Karabakh di mana tentera Russia didakwa memberi bantuan secara “senyap-senyap” kepada tentera Armenia untuk mematahkan serangan oleh Bayraktar TB2 dan dron-dron “Kamikaze” Israel yang digunakan oleh Azerbaijan.

Memandangkan Russia tidak pernah mendedahkan penglibatan unit-unit peperangan elektronik di konflik-konflik terbabit, maka adalah amat sukar untuk mengukur tahap keberkesanan mereka apabila berhadapan dengan ancaman UAV.

Menurut penganalisis ketenteraan, antara sistem peperangan elektronik yang digunakan oleh tentera Russia di konflik luar sempadannya adalah “Krasukha-4”, yang dibina oleh syarikat  “KRET” yang bernaung di bawah konglomerat pertahanan, ROSTEC.

Krasukha
Sistem peperangan elektronik “Krasukha.” (foto internet)

Tentera Russia dikatakan mengerah sistem EW “Krasukha” untuk mengawasi ruang udara berhampiran pengkalan tenteranya di Gyumri, Armenia daripada sebarang ancaman UAV  Turki ketika konflik di Nagorno Karabakh sedang memuncak.

Laporan media mendakwa sistem EW “Krasukha” telah berjaya menembak jatuh sekurang-kurangnya sembilan buah Bayraktar TB2 yang berlegar-legar di ruang udara berhampiran pengkalan tenteranya di Gyumri.

Terdapat juga laporan saksi yang melihat sistem “Krasukha” itu dikerah ke kawasan sempadan Armenia dan Nagorno-Karabakh untuk membantu tentera Armenia menangani ancaman Bayraktar TB2 serta dron-dron “Kamikaze” buatan Israel seperti IAI Harop.

Bayraktar
Bangkai sebuah Bayraktar TB2 yang berjaya dijatuhkan mengguna “Krasukha.” (foto internet)

Tidak lama selepas dakwaan saksi tentang kerahan sistem EW Russia itu, beberapa Bayraktar TB2 didakwa berjaya ditembak jatuh oleh tentera Armenia.

Russia juga mengerah sistem EW “Krasukha” ke Syria untuk mempertahankan pengkalan udara Hmeimim daripada serangan dron-dron yang digunakan oleh militant yang bersekutu dengan kumpulan pengganas, ISIS.

Russia mendakwa dron-dron itu dilancarkan daripada Idlib.

Idlib
Dron Kamikaze yang digunakan oleh pengganas ISIS berjaya dijatuhkan mengguna sistem EW “Krasukha” di Syria. (foto internet)

Ok, kita tengok pula sistem EW “Krasukha” itu.

“Krasukha” itu terdiri daripada radio emitter yang dibawa oleh sebuah trak yang berkemampuan menganggu signal radar, mengawal signal dron sehingga menyebabkan ia “ buta dan pekak” sebelum terhempas.

Jarak effektif sistem “Krasukha 4” dipercayai 300km.

Krasukha
Salah satu komponen sistem EW “Krasukha.” (foto internet)

Malah pihak Amerika Syarikat sendiri mengakui kemampuan sistem EW yang digunakan oleh Russia.

Komander U.S Special Operations Command Jeneral Raymond Thomas dipetik sebagai berkata, Syria telah menjadi medan ujikaji peperangan elektronik yang paling agresif di dunia.

“Mereka menguji kita hampir setiap hari, menganggu sistem komunikasi kita, memutuskan hubungan komunikasi pesawat EC-130 kita dan pelbagai lagi,” katanya.

Krasukha
Sistem “Krasukha” di luar pengkalan udara Hmeimim, Syria. (foto internet)

Sistem “Krasukha” juga dipercayai digunakan untuk menganggu operasi pesawat-pesawat tanpa pemandu serta pesawat pengintip Amerika Syarikat yang beroperasi di ruang udara Syria.

Awal tahun, dua buah UAV “Predator” bertembung sesama sendiri di ruang udara Idlib sebelum terhempas.

Predator
Imej dron “Predator” Amerika Syarikat yang terhempas di Idlib tahun ini. (foto internet)

Dakwaan mengatakan  kedua-dua dron itu adalah mangsa sistem EW Russia sehingga menyebabkan ia bertembung sesama sendiri, tetapi ia disangkal oleh pihak Amerika yang mengatakan pesawat itu mengalami masalah teknikal.

Russia juga menggunakan “Krasukha” di wilayah Crimea, menganggu operasi pesawat-pesawat pengintip NATO dan Amerika Syarikat.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...