Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Berjayakah Turki Bina Pesawat Pejuang Gen-5 “TFX” ?

0 1,540

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas kejayaan pesawat tanpa pemandu (UAV) Turki seperti “Bayraktar TB2” dan “Anka” dalam konlik-konflik di Syria, Libya dan Nagorno-Karabakh, perhatian kini tertumpu kepada usaha negara Mediterranean itu untuk membina pesawat pejuang Gen-5 miliknya sendiri.

Turki telah pun melancarkan program untuk membina pesawat pejuang generasi  ke-lima yang dikenali dengan nama TFX atau (Turkish Fighter Experimental) dengan kontraktor utama adalah Turkish Aerospace Industry (TAI).

Beberapa bulan lepas, Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan berkata, prototaip pertama pesawat pejuang gen-5 Turki TFX itu dijangka siap pada 2023 dan pesawat pertama terbang pada 2025.

Menjelang 2032,  kesemua 250 pesawat pejuang TFX Turki sudah siap bersedia, menggantikan sebahagian besar daripada 240 buah pesawat pejuang F-16 (versi lama) dan kira-kira 40 buah pesawat pejuang F-4 Phantom.“Pesawat TFX akan menggunakan kepakaran tempatan di setiap peringkat daripada tahap rekabentuk hinggalah ke produksi,” kata presiden Turki itu.

TFX
Gambaran artis tentang pesawat TFX. (foto internet)

Jangka hayat TFX adalah sehingga tahun 2070.

Usaha membina pesawat pejuang generasi ke-lima sendiri dipergiat selepas Turki digugurkan daripada program F-35 Lightning selepas ia berkeras mahu mendapatkan sistem peluru berpandu S-400 daripada Russia.

Ok, kita lihat dengan lebih dekat apa sebenarnya pesawat pejuang generasi ke-lima Turki yang dikenali dengan nama “TFX” ini.

TFX
Gambaran artis tentang pesawat TFX. (foto internet)

Pesawat pejuang gen-5 Turki ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu ia adalah pesawat air-superiority yang  halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors),  AESA radar, kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hypersonic.

Kuasa untuk memastikan TFX meluncur laju di udara akan datang daripada dua enjin dipercayai seberat 12 tan setiap satu, diterbangkan oleh seorang juruterbang manakala sebahagian besar daripada senjatanya akan disimpan pada “internal weapon bays.”

“Internal weapon bays” akan mengurangkan lagi pantulan daripada radar musuh.

TFX
Mock up pesawat gen-5 Turki, TFX pada pameran di Paris. (foto internet)

Dengan dua enjin itu, pesawat yang panjang 21 meter itu mampu terbang melebihi kelajuan 2 Mach dengan jarak operasi sejauh 1,100 km (internal fuel).

Enjin adalah komponen terpenting dalam pembuatan jet pejuang dan setakat ini TFX dipercayai mendapatkan kepakaran daripada Roll Royce yang akan bekerjasama dengan syarikat pembuat enjin tempatan, Kale dalam membekalkan enjin untuk TFX.

Kale merupakan syarikat tempatan yang menghasilkan enjin turbojet bagi peluru berpandu kruis Turki, (SOM – Stand Off Missile).

SOM
Peluru berpandu “Stand Off Missile” (SOM). (foto internet)

Syarikat Russia, Rostec yang membekalkan enjin thrust vector bagi pesawat gen-5 negara itu, Su-57 juga berminat untuk membekalkan enjin kepada TFX.

Antara senjata utama TFX adalah SOM-J yang dibangunkan oleh Turki yang pada masa ini berkemampuan membedil sasaran sejauh 250km tetapi pembangunan seterusnya akan menyaksikan peluru berpandu ini mencecah sehingga 1,500km.

Ketepatan peluru berpandu ini adalah dalam lingkungan 5 meter daripada titik sasaran.

Bagi peluru berpandu udara-ke-udara, TFX bakal dilengkapi dengan “Gokdogan” (WVR -Within Visual Range AAM) dan “Bozgodan” (Beyond Visual Range – AAM) yang dibangunkan oleh syarikat Turki, Tubitak-SAGE.

Bozgodan
Peluru berpandu udara-ke-udara keluaran tempatan, “Gokdogan” dan “Bozgodan”. (foto internet)

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...