Arab Saudi “Tayang” MRLS K239 Chunmoo Dengan Pod Peluru Berpandu Taktikal Ballistik
Apa yang menarik dalam gambar yang dikeluarkan oleh pemerhati pertahanan Korea Selatan @mason_8718's di akaun X miliknya adalah sistem MRLS Chunmoo Arab Saudi itu dilengkapi dengan pod peluru berpandu taktikal ballistik CTM-290.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, Sistem Roket Lancaran Berganda (MRLS) “K239 Chunmoo” keluaran syarikat Hanwha Aerospace daripada Korea Selatan telah dilihat di Arab Saudi.
Apa yang menarik dalam gambar yang dikeluarkan oleh pemerhati pertahanan Korea Selatan @mason_8718’s di akaun X miliknya adalah sistem MRLS Chunmoo Arab Saudi itu dilengkapi dengan pod peluru berpandu taktikal ballistik CTM-290.
Pemilikan pod peluru berpandu taktikal ballistik CTM-290 itu menunjukkan peningkatan serangan jarak jauh oleh Angkatan Tentera Arab Saudi.
Pada Mac 2022, Arab Saudi dilaporkan menandatangani perjanjian untuk memperolehi sistem MRLS keluaran Korea Selatan itu, mengikuti jejak langkah negara jirannya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut memperolehi sistem itu terlebih dahulu.
Pemilihan sistem MRLS Chunmoo dengan kemampuan melancarkan peluru berpandu taktikal itu oleh Arab Saudi dan UAE menunjukkan perubahan di dalam doktrin pertahanan kedua-dua negara Teluk itu yang kini berupaya melancarkan serangan-serangan jarak jauh.
Peluru berpandu taktikal ballistik CTM-290 berkaliber 600mm berkemampuan membedil sasaran sejauh 290km dengan darjah ketepatan yang tinggi iaitu Circular Error Probable (CEP) kira-kira 9 meter, menjadikannya senjata yang bersesuaian untuk serangan-serangan tepat jarak jauh.

Sistem MRLS “K239 Chunmoo” dikatakan adalah pesaing utama kepada sistem MLRS HIMARS dan menurut penganalisis, kemampuan sistem MRLS buatan Korea Selatan adalah menyamai sistem HIMARS buatan Amerika Syarikat itu.
Digunakan oleh angkatan tentera negara-negara seperti Korea Selatan, Poland dan beberapa negara lain di Timur Tengah, sistem MRLS “K239 Chunmoo” boleh melancarkan dua roket kaliber berlainan pada masa yang sama.
Ia berkemampuan melancarkan roket-roket berkaliber 130mm, 227mm, 239mm dan 600mm yang boleh membedil sasaran sejauh 36km, 80km dan 290km, sekaligus membolehkan ia memenuhi pelbagai keperluan operasi dengan berkesan.
Antara ciri-ciri utama sistem MRLS K239 Chunmoo adalah kemampuan membedil sasaran dengan tepat, rapid deployment di bawah lima minit, reloading yang cepat, mobiliti taktikal yang membolehkan tentera darat kebolehan taktikal yang maksima.
Korea Selatan membangunkan sistem MRLS “K239 Chunmoo” untuk menggantikan MRLS yang telah berusia “Kooryong.”


Comments are closed.