Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembinaan Batch Kedua Kapal Selam Indonesia Hampir Pasti Batal

0 513

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya khabar-khabar angin mengatakan Indonesia membatalkan kontrak pembelian tiga buah kapal selam daripada Korea Selatan semakin pasti, berdasarkan daripada kenyataan terkini daripada pegawai kanan negara jiran kita itu.

Kerajaan Indonesia dan syarikat Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering (DSME)  menandatangani perjanjian pada 2011 bernilai US$1.1 billion bagi membolehkan Jakarta memperolehi tiga buah kapal selam untuk memenuhi keperluan 12 buah kapal selam dalam jangka panjang.

Tiga buah kapal selam yang pertama iaitu KRI Nagapasa, Ardadeli dan Alugoro yang berdasarkan kepada Type 209/1400 buatan Jerman telah pun diterima oleh Indonesia untuk digunakan oleh angkatan lautnya. Kapal selam itu adalah daripada jenis diesel/elektrik dan memiliki berat 1,400 tan.

Pembinaan batch kedua tiga lagi buah kapal selam kini berhadapan dengan masalah walaupun kontrak telah pun ditandatangani pada Mac 2019, tetapi sehingga kini kerajaan pentadbiran Presiden Jokowi masih mendiamkan diri sama ada ia masih mahu meneruskan kontrak untuk batch kedua itu.

Kapal Selam

Pembatalan kontrak batch kedua itu sekiranya benar, mungkin berkaitan dengan tindakan kerajaan Indonesia untuk mengurangkan belanjawan pertahanan negara itu pada tahun depan berikutan masalah pandemik Covid-19.

Mengikut perancangan asal, Indonesia sepatutnya mengoperasikan tiga buah kapal selam batch kedua pada 2026, tetapi nampaknya ia tinggal kenangan berdasarkan kenyataan terkini daripada PT PAL, iaitu syarikat pembuatan kapal Indonesia.

PT PAL adalah rakan kongsi kepada DSME kepada usaha membina 12 buah kapal selam itu.

Kapal Selam
KRI Nagapasa. (kredit kepada pemilik gambar)

“Batch kedua akan dibangun kapal keempat, kelima dan keenam. Saat ini kontraknya sudah tanda tangan Maret 2019 tetapi efektif kontraknya masih belum,” kata Plt. Direktur Utama Pal Indonesia Etty Soewardani kepada jawatankuasa di Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR) yang bertindak  seperti Parlimen di negara kita.

Etty juga mengatakan beliau mengetahui tentang khabar-khabar mengatakan kontrak batch kedua kapal selam itu dibatalkan.

Kapal Selam
KRI Ardadeli 404 (foto Internet)

“Kami memang mendengar itu … tetapi hitam di atas putih kami belum menerima dokumen pembatalan itu. Jadi kami belum bisa melaporkan konkretnya seperti apa, tetapi fasilitas ini nantinya bisa digunakan untuk pembangunan kapal selam next dengan apapun yang penting itu kapal selam masih bisa dibangun di hanggar kita,” kata Etty.

Walaupun pembatalan kontrak dengan Korea Selatan bagi batch kedua masih belum dapat dipastikan, tetapi beberapa negara seperti Turki sudah pun menawarkan untuk membina batch kedua kapal selam Indonesia itu.

Kapal Selam
KRI Nagapasa 403. (foto internet)

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...