Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

40 Bot Nelayan Indonesia Cuba Ceroboh Perairan Negara

0 814

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Usaha mengawal sempadan perairan negara sememangnya mencabar dan terbaru,  40 bot nelayan Indonesia dikesan cuba menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Jarak untuk menangkap ikan.

Nasib baik, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak telah bertindak dengan pantas dengan mengusir semua bot nelayan negara asing itu.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua bot tersebut dikesan ketika Kapal Maritim (KM) Rawa melaksanakan Op Benteng di perairan Perak.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot tersebut adalah bot nelayan tradisional Indonesia yang mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong bagi setiap bot sedang menangkap ikan.

Nelayan
Bot nelayan Indonesia yang diusir keluar oleh APMM. (ehsan APMM)

“KM Rawa memberi amaran keras kepada bot-bot tersebut dan kesemuanya diarahkan untuk menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata semua bot berkenaan dikesan berada di kedudukan di antara 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

Sejak 18 Mac 2020 hingga kini, APMM telah mengusir sebanyak 199 bot nelayan Indonesia sudah keluar dari perairan negara, selepas dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.

Dah tak cukup laut ke dekat Indonesia, sampai Malaysia punya kawasan perairan pun dia nak ceroboh?

“Dalam tempoh sama, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan Malaysia adalah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 melalui warga asing.

Nelayan
Sebahagian daripada 40 bot nelayan Indonesia yang diusir keluar oleh APMM. (ehsan APMM)

“Aset APMM Perak akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutamanya di titik-titik panas berhampiran sempadan maritim dengan negara jiran untuk menyekat PATI dan bot nelayan asing daripada menceroboh dan memasuki negeri ini,” katanya.

Shahrizan berkata, komuniti maritim tempatan terus menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan asing, PATI dan kegiatan jenayah lain kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerusi talian 05-6838737 atau National Task Force 011-6251 1123.

Peta
Lokasi pengusiran bot-bot nelayan Indonesia oleh APMM. (ehsan APMM)

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...