Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Sah Beli Helikopter Mil Mi-171 Buatan Russia

0 457

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Rasanya tidak sampai seminggu admin melaporkan tentang penerimaan lima buah helikopter Sikorsky S-70i pertama Filipina daripada 16 buah yang dipesan, dan kini negara jiran kita itu membeli helikopter lain pula untuk kegunaan angkatan tenteranya.

Dilaporkan negara itu telah memutuskan untuk membeli 16 buah helikopter Mil Mi-171 buatan Russia bernilai US$268 juta untuk memenuhi kehendak helikopter pengangkut beratnya.

Media-media pertahanan Russia juga mengesahkan keputusan Filipina itu.

Menurut page pertahanan popular Filipina, Maxdefense Philippines, Kementerian Pertahanan Filipina telah pun menganugerahkan Notice of Award bagi perolehan helikopter pengangkut berat kepada kerajaan Filipina bagi helikopter Mil Mi-171.

Mil Mi
Helikopter Mil Mi-171 bakal memasuki perkhidmatan tentera Filipina. (foto Twitter)

Notice of Award itu telah dikeluarkan beberapa minggu lepas dan majlis menandatangani perjanjian pembelian itu akan diadakan tidak lama lagi.

Pada Mac tahun ini, sekumpulan pegawai kanan Tentera Filipina dan kerajaan negara itu melawat Russia dan meninjau dengan lebih dekat kemudahan membuat helikopter Russia itu.

Bagaimanapun terdapat juga kebimbangan bahawa Filipina mungkin melanggar undang-undang Countering America’s Adversaries Through Sanction Act (CAATSA) Amerika Syarikat.

Mana-mana negara yang membeli senjata daripada Russia boleh dikenakan sekatan ekonomi oleh Washington.

Mil Mi
Helikopter Mil Mi-171 banyak digunakan di seluruh dunia. (foto internet)

Selain itu, keputusan kerajaan memilih Mil Mi-171 sebagai calon untuk keperluan helikopter beratnya tidak disenangi oleh sesetengah pemerhati ketenteraan negara itu yang mahu helikopter lain.

Mereka mahukan helikopter Chinook buatan Amerika Syarikat untuk memenuhi keperluan helikopter berat tentera Filipina kerana beranggapan helikopter Mil Mi-171 dari Russia itu tidak memiliki rekod penyelenggaran dan bekalan alat ganti yang memuaskan.

Atau Filipina tambah lebih banyak helikopter Sikorsky S-70i untuk angkatan tenteranya.

Mil Mi

Helikopter Mil Mi-171 ini dihasilkan di dua kilang di Russia iaitu di Kazan dan Ulan-Ude dan digunakan secara meluas di seluruh dunia, bukan sahaja di negara-negara bekas Komunis sahaja tetapi juga negara-negara anggota NATO.

Ia dikategorikan sebagai helikopter pengangkut medium.

Selain itu, helikopter Mil Mi-171 itu juga memiliki versi kombat yang mempunyai kemampuan untuk dilengkapkan dengan pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu dan roket.

Buat masa ini, nampak gaya helikopter Sikorsky S-70i dan Mil Mi-171 akan berganding bahu memenuhi keperluan angkatan tentera Filipina.

Mil Mi
Helikopter Mil MI-171 versi bersenjata. (foto internet)

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...