Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[Video] Etnik Armenia Bakar Rumah, Kosongkan Kubur

0 691

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Etnik Armenia yang terpaksa meninggalkan Nagorno Karabakh selepas gencatan senjata telah membakar rumah-rumah mereka bagi mengelak ianya diduduki oleh musuh-musuh mereka iaitu penduduk Azerbaijan.

Mereka mungkin beranggapan, biar rumah mereka hangus terbakar daripada ianya diduduki oleh “musuh.”

Sebelum rumah-rumah yang diduduki mereka selama puluhan tahun itu dibakar, mereka telah melonggokkan barangan peribadi mereka termasuk haiwan peliharaan ke dalam kenderaan untuk dibawa ke Armenia.

Perasaan dendam penduduk Armenia terhadap penduduk Azerbaijan itu amatlah menebal di dalam diri mereka, mungkin akibat permusuhan di antara kedua-dua bangsa itu yang telah berlanjutan selama berdekad-dekad lamanya.

Kubur
Keadaan kubur etnik selepas dikorek oleh sanak-saudara yang bimbang perkuburan mereka itu akan dirosakkan oleh penduduk Azerbaijan. (foto Twitter)

Permusuhan antara Azerbaijan dan Armenia bukan baharu tetapi telah berlaku dari generasi ke generasi.

Permusuhan itu amat tebal dan berakar-umbi sehinggakan kubur-kubur sanak-saudara penduduk Armenia dikorek dan dikosongkan kerana bimbang jika kawasan perkuburan itu  dirosakkan oleh penduduk Azerbaijan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Beberapa keping gambar tersebar menunjukkan bagaimana penduduk etnik Armenia di Nagorno-Karabakh telah mengorek dan mengosongkan kubur-kubur sanak-saudara mereka untuk dikuburkan semula di kawasan perkuburan baharu di Armenia.

 

Penduduk Armenia memerhati rumah mereka dibakar bagi mengelak ia jatuh ke tangan penduduk Azerbaijan. (sumber Twitter)

Tulang-temulang milik sanak-saudara mereka dikumpulkan di dalam bekas-bekas untuk dibawa ke kawasan persemadian baharu di Armenia.

Mereka yang sudah lama mati juga tidak terlepas daripada konflik peperangan terkini antara Armenia dan Azerbaijan.

Beberapa hari lepas, Armenia dan Azerbaijan menandatangani gencatan senjata yang dikelolakan oleh Russia.

Selepas lebih daripada satu bulan berperang, Armenia akan menyerahkan sebahagian daripada kawasan Nagorno Karabakh kepada Azerbaijan di bawah pengawasan tentera Russia.

Azeri
Anggota tentera Azerbaijan bergambar di hadapan sebuah masjid bersejarah di Shusha, bandar kedua terbesar di Nagorno Karabakh yang berjaya dirampas. (foto internet)

Selepas gencatan senjata ini, ratusan ribu penduduk Azerbaijan yang terpaksa melarikan daripada Nagorno Karabakh pada 1990-an akan kembali semula ke kediaman asal mereka di wilayah bergolak itu.

Manakala bagi etnik Armenia, kebimbangan terhadap masa depan mereka di Nagorno Karabakh yang kini dikuasai oleh Azerbaijan, memaksa mereka meninggalkan wilayah itu secara beramai-ramai.

Armenia
Etnik Armenia mengosongkan gereja mereka beberapa hari sebelum wilayah Nagorno Karabakh itu diserahkan kepada Azerbaijan. (foto internet)

Sebelum meninggalkan Nagorno Karabakh, mereka membakar apa sahaja barangan milik mereka termasuk rumah bagi mengelak ia jatuh ke tangan penduduk Azerbaijan.

Mereka sudah tentu tidak sanggup melihat rumah-rumah yang diduduki mereka sekeluarga selama puluhan tahun menjadi tempat tinggal untuk “musuh” mereka pula.

Rumah
Penduduk Armenia membakar rumah mereka di Nagoro Karabakh. (foto internet)

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...