Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Momentum Semakin Hebat Untuk Arab Saudi, UAE Sertai Pembangunan KF-21 “Boramae” Korea Selatan

Cadangan supaya kedua-dua negara Arab Teluk kaya, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menjadi rakan kongsi dalam program pembangunan pesawat KF-21 itu nampaknya semakin diperhebatkan selepas “sesi kunjung-mengunjung dan pertemuan” di antara pemimpin-pemimpian awam dan tentera di antara Arab Saudi, UAE dan Korea Selatan.

0 5,003

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan dikatakan sedang berusaha menarik perhatian dua negara Arab Teluk yang kaya-raya, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjadi rakan kongsi dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 yang sedang dibangunkannya iaitu KF-21 “Boramae.”

Cadangan supaya kedua-dua negara Arab Teluk kaya itu menjadi rakan kongsi dalam program pembangunan pesawat KF-21 itu nampaknya semakin diperhebatkan selepas “sesi kunjung-mengunjung dan pertemuan” di antara pemimpin-pemimpian awam dan tentera di antara Arab Saudi, UAE dan Korea Selatan.

Ia juga selepas UAE dan Arab Saudi menandatangani kontrak pertahanan bernilai besar dengan Korea Selatan pada 2022 dan 2023, sekaligus menjadikan negara Asia Timur itu sebagai pembekal utama senjata kepada kedua-dua negara Arab Teluk itu.

Walaupun pesawat pejuang KF-21 itu adalah pesawat generasi 4.5, tetapi syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) mempunyai perancangan untuk menaiktarafnya kepada pesawat generasi kelima menerusi KF-21 Block 20 dan KF-21 Block 30.

Malah KAI dikatakan mempunyai perancangan untuk menjadikan pesawat pejuang KF-21 sebagai pesawat pejuang generasi ke-enam menerusi peningkatan kemampuan berterusannya.

KF-21
“KF-21”

 

Bercakap kepada agensi berita nasional Malaysia ketika DSA 2024 baru-baru ini, Pengurus Wilayah KAI untuk Asia Park Shangshin berkata, “Pesawat KF-21 (Boramae) adalah pesawat pejuang generasi 4.5 tetapi ia akan mempunyai platform generasi ke-5, bermakna ia bukan sahaja generasi ke-5 tetapi boleh dinaiktaraf kepada pesawat pejuang generasi ke-6 di masa depan.”

Pada akhir Mei lalu, Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan tiba di Korea Selatan bagi berbincang pelbagai isu dua hala, dengan kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara merupakan antara perkara utama dalam agenda perbincangan.

Lawatan Presiden UAE ke Seoul itu adalah bagi membalas lawatan negara Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol ke Abu Dhabi pada Januari tahun lepas dimana kerajaan negara Arab Teluk menyatakan ia akan melaburkan US$30 billion (RM141 billion) dalam pelbagai industri.

Industri pertahanan berkemungkinan besar akan menjadi salah satu industri yang bakal menyaksikan pelaburan besar-besaran daripada UAE itu.

Lawatan Presiden Korea Selatan ke UAE tahun lepas itu juga berlaku selepas kerajaan Abu Dhabi itu dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat pertahanan Korea Selatan untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM Block II bernilai US$3.6 billion (RM16.98 billion).

Tidak lama selepas UAE memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM yang dibangunkan oleh Agency for Defense Development (ADD), syarikat LIG Nex1 dan kerjsama teknikal oleh syarikat Almaz-Antey daripada Russia, Arab Saudi pada Nov 2023 telah mengikut jejak langkah UAE dengan memperolehi sistem pertahanan udara yang sama dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai US$3.2 billion (RM15.10 billion).

Korea Selatan
“KM-SAM II”

 

Keputusan Riyadh untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan itu hanya diketahui ketika Arab Saudi menjadi penganjur pameran pertahanan, World Defense Show 2024.

Sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM Block II itu dilaporkan amat berkemampuan menembak jatuh pesawat dan peluru-peluru berpandu ballistik, sistem yang amat diperlukan oleh Arab Saudi dan UAE bagi menangani serangan peluru berpandu ballistik dilancarkan sama ada oleh kumpulan bersenjata Houthi Yemen dan kumpulan-kumpulan proksi disokong oleh Iran yang lain.

Peningkatan momentum supaya Arab Saudi dan UAE menjadi rakan kongsi kepada program pembangunan pesawat pejuang KF-21 Korea Selatan itu juga adalah selari dengan kesukaran dialami oleh Riyadh dan Abu Dhabi untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima terutamanya F-35 buatan Amerika Syarikat.

Pada ketika ini, hanya F-35 yang telah “mature” sebagai pesawat generasi kelima manakala pesawat generasi kelima buatan China, J-20 “Mighty Dragon” bukan untuk eksport dan Su-57 “Felon” buatan Russia juga berhadapan dengan masalah daripada segi produksi.

Beijing cuba mempromosi F-31 sebagai pesawat pejuang generasi kelima negara itu selepas J-20, tetapi pesawat itu masih diperingkat pembangunan dan belum memasuki produksi besar-besaran (mass production).

Pesawat F-31 China itu sebenarnya adalah untuk memenuhi keperluan China sendiri sebagai pesawat  yang akan beroperasi di kapal-kapal pengangkut pesawatnya.

Israel
F-35I “Adir” Israel

 

Walaupun industri pertahanan Amerika Syarikat seperti syarikat Lockheed Martin yang membangunkan pesawat pejuang F-35 itu tidak mempunyai masalah untuk menjual pesawat generasi kelima itu kepada Arab Saudi dan UAE, namun tanpa “persetujuan” daripada Israel maka penjualan F-35 kepada kedua-dua negara Arab Teluk tidak akan menjadi kenyataan.

Israel tetap tidak mahu memberikan kebenarannya terhadan penjualan F-35 kepada Arab Saudi dan UAE dengan alasan ia mahu mengekalkan “kelebihan kualitatif” ketenteraannya di rantau Timur Tengah.

Pada tahun 2021, UAE bersetuju untuk membeli 50 buah pesawat pejuang F-35 dan 18 buah dron MQ-9 Reaper daripada Amerika Syarikat yang pada ketika ditadbir oleh Donald Trump dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai US$23 bilion (RM103.5 bilion).

Walaupun persetujuan telah dicapai bagi menjadikan UAE negara pertama di Timur Tengah untuk memperolehi F-35, namun apabila Presiden Donald Trump “ditendang keluar” daripada Rumah Putih, persetujuan itu tergantung dan tidak dilaksana, ditambah pula bantahan berterusan daripada kumpulan-kumpulan pelobi Yahudi di Washington.

Hubungan rapat UAE dengan China terutamanya kerjasama negara Arab itu dengan syarikat Huawei juga memainkan peranan terhadap kegagalan UAE melaksanakan perolehan pesawat-pesawat pejuang F-35 itu.

Presiden Jo Biden dan parti Demokrat yang mengambilalih tampuk pemerintahan di Rumah Putih selepas kekalahan Donald Trump juga telah bertindak mewujudkan pelbagai “halangan” bagi memastikan UAE tidak memperolehi pesawat F-35.

J-20
J-20 “Mighty Dragon”

 

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” terbabit dianggar melibatkan kos US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).

KAI merancang untuk membekalkan 40 pesawat KF-21 Block 1 yang direka bentuk untuk misi udara-ke-udara pada 2026, disusuli 80 pesawat KF-21 Block 2 untuk misi udara-ke-darat pada fasa berikutnya.

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu turut dilaporkan berhasrat untuk memulakan eksport pesawat pejuang KF-21 “Borame” kepada pelanggan berminat selepas memenuhi keperluan Tentera Udara Republik Korea (ROKAF).

Laporan-laporan media daripada Korea Selatan menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” itu akan mula dibina secara besar-besaran (mass production) pada tahun ini.

KAI dilaporkan akan berbelanja sebanyak US$178 juta (RM800 juta) untuk mula membina 40 buah pesawat KF-21 “Boramae” itu.

“Pembinaan secara besar-besaran (mass production) pertama pesawat KF-21 Boramae itu dijangkakan akan mengisi vakuum kekuasaan yang ditinggalkan apabila Tentera Udara Korea Selatan menamatkan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia,” menurut menteri pertahanan negara itu dalam satu kenyataan Disember lalu.

KF-21
KF-21 “Boramae”

 

Menurut KAI, fasa kejuruteraan dan pembinaan pesawat pejuang  KF-21 itu akan akan selesai pada 2026.

Media negara itu, Korea Times menjangkakan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang pertama dijangka akan dioperasikan oleh ROKAF pada separuh tahun 2026.

ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu. — DSA

 

Comments
Loading...