Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Industri Pertahanan Russia Kehilangan “Pelanggan Setianya” Selepas Serbia Pilih Rafale Buatan Perancis

Selama ini, Tentera Udara Serbia hanya menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia seperti MiG-21 dan juga MiG-29 dan perolehan pesawat-pesawat pejuang buatan Eropah itu dikatakan adalah usaha negara Balkan itu untuk meningkatkan kemampuan udaranya.

0 10,039

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Industri pertahanan Russia bakal kehilangan satu lagi “pelanggan setianya” apabila Serbia bersetuju untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang Rafale baru buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web rasmi Presiden Serbia Aleksandar Vucic menyatakan bahawa kedua-dua negara dijangka menandatangani kontrak perolehan pesawat pejuang itu dalam tempoh dua bulan dihadapan Presiden Perancis Emmanuel Macron.

“Kami juga mengadakan pertemuan dengan Dassault Aviation tetapi juga berkenaan kerjasama lain.Kita juga akan menandatangani kontrak yang akan meningkatkan lagi keselamatan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan lawatan Vucic ke Paris di mana beliau juga mengadakan pertemuan dengan Macron.

Perolehan 12 buah pesawat pejuang Rafale oleh Serbia itu dijangka akan menelan belanja lebih daripada US$3 billion (RM13.5 billion).

Rafale
Presiden Serbia Aleksandar Vucic (kiri) dan Presiden Perancis Emmanuel Macron (kanan).

 

Serbia dikatakan mula mempertimbangkan perolehan 12 buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis dua tahun lepas, selepas negara jirannya, Croatia memperolehi 12 buah pesawat pejuang Rafale terpakai.

Media-media tempatan menyatakan pertemuan di antara Macron dan Vucic di Paris itu menyentuh tentang isu-isu pertahanan,tenaga dan teknologi.

Jika kontrak perolehan pesawat-pesawat pejuang Rafale di antara Perancis dan Serbia itu benar-benar menjadi kenyataan di dalam tempoh dua bulan itu, maka ia akan menyaksikan perubahan besar di dalam dasar pertahanan negara Balkan itu.

Selama ini, Tentera Udara Serbia hanya menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia seperti MiG-21 dan juga MiG-29 dan perolehan pesawat-pesawat pejuang buatan Eropah itu dikatakan adalah usaha negara Balkan itu untuk meningkatkan kemampuan udaranya.

Selain pesawat-pesawat pejuang buatan Russia, Angkatan Tentera Russia juga menggunakan pelbagai aset pertahanan buatan Russia dan China termasuk sistem pertahanan udara “Pantsir S-1”, S-125M dan juga FK-3 yang dibangunkan oleh Beijing.

rafale

Serbia juga mengoperasikan enam buah dron bersenjata CH-92A bersama-sama 18 butir peluru berpandu yang diperolehinya daripada China.

Presiden Serbia itu dilaporkan adalah penyokong kuat kepada inisiatif Belt and Road anjuran China dan pernah melakukan lawatan rasmi ke Beijing tahun lepas dimana beliau telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatanya daripada China, Presiden Xi Jinping.

Sekiranya kontrak perolehan antara Serbia dan Perancis itu ditandatangani, negara Balkan itu akan menjadi negara ke-lapan selepas Mesir, Croatia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Indonesia dan Greek yang memperolehi pesawat pejuang Rafale itu.

Pada bulan lepas, syarikat Dassault Aviation menyatakan ia akan meningkatkan produksi pesawat pejuang Rafale kepada tiga buah sebulan pada 2024 daripada dua buah pesawat sebulan sebelum ini berikutan peningkatan permintaan daripada pelanggan.

Sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Perancis, Le Tribune, ketua pegawai eksekutif Dassault Aviation  Eric Trappier berkata, syarikatnya berkeupayaan menghasilkan empat buah pesawat pejuang Rafale untuk menampung peningkatan permintaan dalam dan luar negara.

Rafale
Serbia mengoperasikan sistem pertahanan udara “Pantsir S-1” buatan Russia dan FK-3 buatan China.

Kita sedang menuju kepada tahap kurang daripada sebuah (pesawat) pada tahun 2020, di mana ianya pada keadaan kritikal kepada  tiga (buah pesawat). Pada ketika ini kita berada pada tahap dua (buah pesawat).”

Syarikat Dassault Aviation sedang mempersiapkan kerja-kerja untuk meningkatkan produksi pesawat pejuang Rafale kepada tiga buah sebulan.

Untuk tahun ini sahaja, syarikat Dassult Aviation telah pun memperolehi pesanan sebanyak 18 buah pesawat Rafale, 60 pesanan pada 2023 dan 92 pesanan pada 2022.

Selain peningkatan pesanan daripada negara-negara luar, syarikat Dassault Aviation juga berhadapan dengan peningkatan pesanan daripada Tentera Udara Perancis itu sendiri yang membeli lebih banyak pesawat pejuang Rafale.

Pada awal Januari lalu, Perancis mengesahkan ia akan membelanjakan sejumlah US$5.5 bilion (RM24.75 bilion) untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale. — DSA

 

Comments
Loading...