Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) “Kereta Kebal Kura-Kura” Russia Buat Kemunculan di Barisan Hadapan Ukraine

(VIDEO) Selepas kemunculannya di barisan hadapan peperangan Russia-Ukraine beberapa hari lalu, kereta kebal T-72 milik Russia yang telah diubahsuai dan telah diberikan pelbagai gelaran, antaranya,  “kereta kebal kura-kura” dan “kereta kebal Ninja Turtle.”

0 14,066

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan bimbang dengan ancaman daripada dron-dron berani mati dan dron FPV (First Person View) Ukraine, pihak tentera Russia telah bertindak ekstrim dengan mengubahsuai sebuah kereta kebal T-72 miliknya dengan melengkapkannya dengan “cengkerang” diperbuat daripada besi sehinggakan kenderaan armor seberat 51 tan itu menyerupai seekor kura-kura.

Malah selepas kemunculannya di barisan hadapan perang Russia-Ukraine beberapa hari lalu, kereta kebal T-72 yang telah diubahsuai itu kini diberikan pelbagai gelaran, antaranya,  “kereta kebal kura-kura” dan “kereta kebal Ninja Turtle.”

Hasil kreativiti anggota tentera Russia yang berusaha keras mengubahsuainya, kereta kebal T-72 Russia itu kini dilengkapi dengan kepingan besi seperti cengkerang kura-kura (turtle shell) bagi melindunginya daripada bedilan dron-dron berani mati dan dron FPV.

“Cengkerang” besi itu adalah untuk melindungi keseluruhan badan kereta kebal T-72 Russia itu, dengan hanya meriam 125mm miliknya kelihatan.

Dron pemantau yang dioperasi oleh pihak tentera Ukraine mengesan kehadiran “kereta kebal kura-kura” Russia itu sedang beroperasi di barisan hadapan di Krasnohorivka, di barat Donetsk, timur Ukraine.

Tidak lama selepas itu, operator dron Ukraine menjejaki “kereta kebal kura-kura” Russia itu sedang berlindung dalam sebuah hangar di daerah Petrovs’kyi di Donetsk dan memusnahkannya menggunakan bedilan meriam.

Nampaknya jangka hayat kereta “kereta kebal kura-kura” Russia itu tidak lama kerana rekabentuknya yang unik seperti seekor kura-kura telah menarik perhatian tentera Ukraine yang telah memburu dan memusnahkannya.

“Cengkerang” yang dimiliki oleh kereta kebal T-72 Russia sehingga ia diberikan gelaran kereta kebal kura-kura telah menyebabkan ia menarik perhatian Ukraine yang berusaha memburu dan memusnahkannya dengan cepat, tanpa sempat “kereta kebal kura-kura” itu ia membuktikan bahawa cengkerangnya itu benar-benar berguna menjamin keselamatannya.

Menurut pemerhati-pemerhati tentera antarabangsa, kemunculan “kereta kebal kura-kura” Russia beberapa hari lalu itu adalah salah satu ciptaan paling unik pernah mereka temui sepanjang konfik antara Russia dan Ukraine itu berlaku sejak tiga tahun lepas.

Walaupun, kreativiti anggota tentera Russia dalam mengubahsuai kenderaan armor dan aset-asetnya dalam menangani ancaman yang semakin kompleks di medan peperangan haruslah dipuji.

Bukan sahaja anggota tentera Russia melengkapkan kereta kebalnya dengan cengkerang menyerupai seekor kura-kura tetapi mereka juga telah melengkapkan kereta-kereta kebalnya dengan Sistem Peperangan Elektronik (Electronic Warfare) bagi melindunginya daripada serangan dron-dron berani mati dan dron FPV.

Anggota tentera Russia terpaksa bertindak pantas untuk menangani ancaman daripada dron-dron berani mati dan FPV Ukraine berikutan kemusnahan dialami oleh kereta-kereta kebalnya adalah amat tinggi, sebagaimana dinyatakan oleh badan pemikir ketenteraan Barat.

Menurut badan pemikir berpangkalan di United Kingdom, International Institute for Strategic Studies (IISS) menyatakan bahawa sejak peperangan Russia-Ukraine tercetus pada Februari 2022, Moscow dipercayai telah kehilangan kira-kira 3,000 buah kereta kebal. — DSA

Comments
Loading...