Thailand “Was-Was” Dgn Enjin Kapal Selam China, Minta Maklumat Dari Pakistan
Thailand dipercayai masih “was-was” dengan kualiti dan prestasi enjin buatan China yang bakal digunakan oleh kapal selam kelas-Yuan “S26T” miliknya dan dilapor memohon maklumat terperinci mengenainya enjin itu daripada Pakistan yang menggunakan lapan buah kapal selam kelas-Yuan buatan China itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Thailand dikatakan memohon “bantuan” daripada Pakistan untuk memberikannya maklumat terkini dan terperinci berkenaan enjin kapal selam buatan China yang digunakan oleh tentera laut negara Asia Selatan itu, bagi membolehkannya membuat keputusan tentang penggunaan enjin pada kapal selam yang bakal dioperasinya pada tahun depan itu.
Tentera Laut Thailand mahu mengetahui dengan lebih lanjut daripada Pakistan tentang kualiti enjin lapan buah kapal selam kelas-Yuan digunakannya.
Kelapan-lapan buah kapal selam kelas-Yuan buatan China milik Tentera Laut Pakistan itu adalah sama dengan kapal selam yang bakal dimiliki oleh Thailand, namun pembinaan kapal selam pertama negara Asia Tenggara itu masih tergantung sehingga kini disebabkan isu enjin.

Thailand dipercayai masih “was-was” dengan kualiti dan prestasi enjin buatan China yang bakal digunakan oleh kapal selam kelas-Yuan “S26T” miliknya, menyebabkan ia memohon maklumat terperinci mengenai enjin kapal selam itu daripada Pakistan.
Bagaimanapun isu mengenai enjin kapal selam buatan China milik Thailand itu dipercayai hampir ke penghujungnya, dengan Bangkok sebagaimana dilaporkan oleh portal Nikkei Asia, dipaksa menerima kapal selam bersama-sama enjin buatan China selepas menerima tekanan daripada Beijing.
China sebagai pelabur dan rakan dagang terbesar Thailand dikatakan menggunakan tekanan untuk memaksa Thailand menerima supaya enjin buatannya untuk digunakan oleh kapal selam kelas-Yuan yang bakal dimilikinya itu.
Baru-baru ini, Bangkok memberikan petanda bahawa ia bersedia untuk berkompromi dengan Beijing tentang isu enjin kapal selam itu.
Bangkok memberikan petanda bahawa ia bersedia menerima kapal selam kelas-Yuan itu walaupun ia dilengkapi dengan enjin buatan negara itu, tidak sepertidengan apa yang terkandung dalam kontrak pembelian ditandatangani pada 2017 yang menjanjikan enjin buatan Jerman.
Perkara itu disahkan oleh Panglima Tentera Laut Thailand Laksamana Choengchai Chomchoengpaet yang mengatakan bahawa mereka boleh menerima enjin buatan China tetapi ia mestilah bersyarat.

“Kami mempunyai tiga syarat yang perlu dipertimbangkan – pertama bahawa enjin (buatan China) itu perlulah selamat. Kedua, Tentera Laut China perlu memberikan jaminan enjin yang akan dipasang pada kapal selam Thailand.”
Comments are closed.