KAAN, Pesawat Pejuang Gen-5 “Negara Islam” Yang Pertama?
Dengan pembabitan negara-negara Islam -- Turkiye, Azerbaijan, Pakistan dan Arab Saudi, ramai dikalangan penganalisis pertahanan menyatakan bahawa “KAAN” bakal muncul sebagai “pesawat pejuang generasi kelima negara Islam” yang pertama pada akhir tahun ini apabila ia terbang buat pertama kalinya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan dilaporkan bakal mengikut jejak langkah Azerbaijan dalam menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye dinamakan “KAAN”, yang bakal melakukan penerbangan sulungnya pada 27 Disember tahun ini.
Selepas Pakistan dan Azerbaijan, Arab Saudi juga dikatakan berminat untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye yang sedang dilaksanakan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) pada ketika ini.
Dengan pembabitan negara-negara Islam — Turkiye, Azerbaijan, Pakistan dan Arab Saudi, ramai dikalangan penganalisis pertahanan menyatakan bahawa “KAAN” bakal muncul sebagai “pesawat pejuang generasi kelima Negara Islam” yang pertama pada akhir tahun ini apabila ia terbang buat pertama kalinya.
Azerbaijan dan Pakistan sememangnya memiliki hubungan ketenteraan yang rapat dengan Turkiye dalam bidang pertahanan termasuk kerjasama industri berkenaan.
Ankara muncul sebagai pembekal utama pelbagai sistem persenjataan kepada Baku dan Islamabad sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Manakala hubungan diplomatik yang dingin di antara Turkiye dan Arab Saudi sebelum ini nampaknya telah pulih menerusi kunjungan Presiden Recep Tayyep Erdogan ke Riyadh baru-baru ini.
Arab Saudi dilaporkan bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi pesawat tanpa pemandu (dron) “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.
Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.
Riyadh sememangnya berminat untuk memperolehi pesawat pejuang kelima untuk tentera udaranya selepas percubaannya untuk mendapatkan F-35 yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat “tidak dilayan” oleh negara Uncle Sam itu.
Bukan sahaja minat Arab Saudi untuk memiliki F-35 itu dipandang sepi oleh Washington, tetapi usaha Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu juga tidak dilayan.
Comments are closed.