Hubungan Russia-Iran Mulai “Retak” Akibat Isu Pemilikan Tiga Buah Pulau
Teheran mendakwa ketiga-tiga buah pulau itu, Abu Musa, Pulau Tunb Besar (Greater Tunb) dan Pulau Tunb Kecil (Lesser Tunb) adalah miliknya dan mahu Russia memperbetulkan pendirian diambilnya mengenai isu itu, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan Russia “menyebelahi” Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pertikaian mengenai pemilikan tiga buah pulau di Selat Hormuz telah menyebabkan “keretakan” hubungan di antara Moscow dan Teheran.
Teheran mendakwa ketiga-tiga buah pulau itu, Abu Musa, Pulau Tunb Besar (Greater Tunb) dan Pulau Tunb Kecil (Lesser Tunb) adalah miliknya dan mahu Russia memperbetulkan pendirian diambilnya mengenai isu itu, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran.
Iran juga bertindak memanggil duta Russia di negara itu untuk menyampaikan bantahan negara itu.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat antara Russia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Moscow baru-baru ini, kedua-dua pihak mahukan “semua usaha damai termasuk inisiatif UAE untuk mencapai jalan penyelesaian aman menerusi rundingan dua hala atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa, selaras dengan undang-undang antarabanbsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”
Kenyataan bersama itu seolah-olah menunjukkan seolah-olah bahawa Russia juga tidak memperakui kedaulatan Iran terhadap ketiga-tiga pulau strategik itu.
Pada Disember lepas, Presiden China juga menyokong usaha menyelesaikan isu pemilikan ketiga-tiga buah pulau itu di peringkat antarabangsa.
Kementerian Luar Iran menyatakan bahawa ketiga-tiga buah pulau itu adalah milik Iran dan pengeluaran kenyataan (oleh Russia dan GCC) adalah bertentangan dengan hubungan baik di antara Teheran dan negara-negara jirannya.
Ketiga-tiga buah pulau di Selat Hormuz yang terletak di tengah-tengah laluan maritim yang penting untuk perdagangan minyak dan gas dunia itu telah ditadbir oleh Iran sejak 1971, tetapi di dakwa oleh UAE sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Pada ketika itu, Shah of Iran yang memerintah negara Iran pada ketika itu telah mengerah tentera lautnya ke pulau-pulau itu sebaik sahaja British mengundurkan tenteranya daripada UAE.

Sejak daripada itu, UAE mendakwa pulau-pulau itu sebagai miliknya dan disokong oleh negara-negara Arab yang lain.
Comments are closed.