Sudah Dua Minggu Kapal Penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 Berada Dalam Perairan ZEE Malaysia
Walaupun sudah dua minggu berada di dalam perairan ZEE Malaysia menjalankan kajian-kajian saintifik dasar laut, namun belum ada sebarang komen spesifik daripada Kementerian Luar atau Kementerian Pertahanan mengenai kehadiran kapal “Haiyang Dizhi 8” milik China itu sehingga kini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, sudah dua minggu kapal penyelidikan China, Haiyang Dizhi 8 berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals), dipercayai menjalankan kerja-kerja kajian dasar laut di kawasan perairan milik Malaysia yang kaya dengan khazanah minyak dan gas.
Menurut penyelidik antarabangsa Raymond Powell, kapal penyelidik China itu pernah dikesan berada pada kedudukan paling hampir kira-kira 100 batu nautika daripada pantai Malaysia.
“Kapal survei China, Haiyang Dizhi 8 masih dikawal oleh kapal pengawal pantai negara itu, CCG 5202 sejak ia mula memasuki kawasan perairan ZEE Malaysia pada 21 Jun lepas.”

“Kapal China itu kini dibayangi (shadow) oleh kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Kelantan,” kata Powell Powell menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya di @GordionKnotRay.
Ray, bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.
Walaupun sudah dua minggu berada di dalam perairan ZEE Malaysia menjalankan kajian-kajian saintifik dasar laut, namun belum ada sebarang komen spesifik daripada Kementerian Luar atau Kementerian Pertahanan mengenai kehadiran kapal “Haiyang Dizhi 8” milik China itu sehingga kini.
Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang pernah mencetus insiden yang sama di perairan ZEE Malaysia tiga tahun lepas.
Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 itu dipercayai mensasarkan kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menempatkan aktiviti cari gali minyak dan gas membabitkan Petronas dan rakan-rakan perniagaannya.

Tiga tahun lepas, kapal penyelidik China itu dikesan beroperasi di lokasi perairan berhampiran dengan aktiviti kapal ultra drillship, West Capella yang dikontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penggerudian.
Kehadiran kapal Haiyang Dizhi 8 di dalam perairan ZEE Malaysia pada April 2020 itu juga telah dikawal ketat oleh beberapa buah kapal pengawal pantai serta maritim militia China, sama seperti apa yang sedang berlaku pada ketika ini.
Comments are closed.