Tentera Ukraine “Tipu” Dakwa Leopard Mereka Rosak, Elak Berdepan Tentera Russia – Media Jerman
Dakwaan itu dinyatakan dalam laporan laman web Jerman "Der Spiegel" berdasarkan kenyataan daripada anggota tentera Ukraine yang terlibat dalam serangan balas negara terhadap kedudukan Russia di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Krew-krew kereta kebal Leopard yang dioperasi anggota tentera Ukraine didakwa telah menipu dengan mengatakan kereta kebal buatan Jerman mereka itu telah mengalami kerosakan, bagi mengelak mereka daripada dikerah ke medan peperangan dan berdepan dengan tentera Russia.
Dakwaan itu dinyatakan dalam laporan laman web Jerman “Der Spiegel” berdasarkan kenyataan daripada anggota tentera Ukraine yang terlibat dalam serangan balas negara terhadap kedudukan Russia di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.
Laporan oleh laman web Jerman itu memetik seorang krew kereta kebal Leopard dikenali dengan nama “Gudzik” yang menyatakan bahawa segelintir anggota tentera Ukraine enggan terlibat dalam peperangan dan menipu dengan menyatakan kereta kebal telah mengalami kerosakan.

Anggota tentera terbabit enggan mengecam krew kereta kebal Leopard yang enggan terlibat dengan peperangan itu kerana tahu tentang risiko sekiranya kereta kebal mereka terkena bedilan oleh tentera Russia.
“Mereka tahu, sekiranya kereta kebal mereka terkena bedilan tentera Russia, maka mereka akan menjadi ‘debu’ bersama-sama kereta kebal itu,” katanya kepada laman web Jerman itu.
Beliau juga menyatakan bahawa tiga daripada kereta kebal Leopard buatan Jerman yang terlibat dalam serangan balas Ukraine di Wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine itu telah terkena bedilan periuk api yang diletakkan oleh anggota tentera Russia.
Periuk-periuk api itu telah diletakkan di suatu kawasan yang luas dan mendatangkan ancaman yang signifikan kepada kereta-kereta kebal dan perisai Ukraine buatan Barat itu itu.
Sejak tentera Ukraine melancarkan serangan balas musim panas yang ditunggu-tunggu baru-baru ini, ia dilaporkan telah mula kehilangan banyak kereta kebal dan kereta perisai yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.
Dalam serangan di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine yang berjaya dipatahkan oleh tentera Russia sebagaimana didakwa oleh media negara itu, tentera Ukraine dilaporkan telah kehilangan kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Laporan oleh pemerhati menyatakan bahawa dalam serangan itu, Kiev telah kehilangan sekurang-kurangnya enam buah kereta kebal Leopard yang terdiri daripada varian Leopard 2A6 dan Leopard 2A4.
Comments are closed.