Yak-130 “Mitten”, Pesawat FLIT/LCA Russia Dengan DNA Barat
Walaupun pesawat latihan lanjutan Yak-130 “Mitten” ini adalah pesawat yang dibina oleh syarikat Russia tetapi ia memiliki DNA pesawat latihan buatan Barat kerana pada mulanya ia telah dibangunkan secara bersama di antara Yakovlev dengan syarikat pembuat pesawat terkenal Itali, Aermacchi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada akhir tahun 2021, Tentera Udara Vietnam telah mula menerima enam buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Yakovlev Yak-130 “Mitten” daripada 12 buah dipesannya daripada syarikat pembuat pesawat Russia, Yakovlev yang merupakan anak syarikat kepada Irkut Aviation Plant.
Walaupun pesawat latihan lanjutan Yak-130 “Mitten” ini adalah pesawat yang dibina oleh syarikat Russia tetapi ia memiliki DNA pesawat latihan buatan Barat kerana pada mulanya ia telah dibangunkan secara bersama di antara Yakovlev dengan syarikat pembuat pesawat terkenal Itali, Aermacchi.
Bagaimanapun “jodoh” antara syarikat Yakovlev dan Aermacchi untuk membina pesawat latihan lanjutan/pejuang ringan itu tidak berpanjangan.

Apabila kerjasama antara Yakovlev dan Aermacchi itu dihentikan, syarikat Russia itu meneruskan pembangunan pesawat FLIT/LCA miliknya sendiri dan menamakannya Yak-130 “Mitten”.
Bagi Aermacchi pula, syarikat aeroangkasa Itali yang dimiliki oleh Leonardo itu turut meneruskan program pembinaan pesawat FLIT/LCA mereka sendiri dan menamakannya M-346.
Ia menjadikan pesawat Yak-130 “Mitten” dan M-346 sebagai tidak ubah seperti “adik-beradik”, malah jika diperhatikan daripada segi rekabentuk kedua-dua pesawat itu juga adalah hampir sama.
Tentera Udara Russia menggunakan pesawat Yak-130 yang dilengkapi dengan sistem dan kemudahan sama seperti pesawat generasi ke-4 untuk melatih juruterbangnya mengendalikan pesawat-pesawat seperti Sukhoi Su-35 dan Su-57 “Felon”.
Tentera udara negara itu dipercayai memiliki sehingga 55 buah pesawat Yak-130 pada ketika ini.

Selain Tentera Udara Vietnam, beberapa negara di Asia Tenggara yang turut menggunakan pesawat Yak-130 “Mitten” sebagai pesawat FLIT/LCA adalah Myanmar dan Laos.
Vietnam menandatangani perjanjian dengan Russia bernilai US$350 juta (RM1.4 bilion) pada 2019 untuk memperolehi sebanyak 12 buah pesawat Yak-130 sebagai pesawat FLIT/LCA bagi menggantikan pesawat Aero L-30 buatan Republik Czech.
Comments are closed.