Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kebakaran Kecil Di KD Laksamana Muhammad Amin – Bomba Perak

"Kebakaran membabitkan bahagian bilik penyimpanan peluru kapal perang jenis korvet F136. Bagaimana ketika kejadian tiada peluru di situ dan anggaran kebakaran adalah 10 peratus." -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak

0 1,124

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Satu kebakaran kecil telah berlaku di kapal KD Laksamana Muhammad Amin Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang menjalani kerja-kerja refit di Grade One Marine Shipyard, Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini, pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.03 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan bahagian bilik penyimpanan peluru kapal perang jenis korvet F136. Bagaimana ketika kejadian tiada peluru di situ dan anggaran kebakaran adalah 10 peratus.

KD Amin
Kapal korvet KD Laksamana Muhammad Amin

 

“Tindakan pemadaman dilakukan oleh Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) pelabuhan, manakala pasukan bomba membuat ‘ventilation’.

Katanya, operasi terkawal jam 10.25 pagi dan operasi pemadaman masih berjalan.

Kenyataan media sosial TLDM sebelum ini menyatakan bahawa kapal KD Laksamana Muhammad Amin dari Skuadron Korvet Ke 24 sedang menjalani pasang pulih (refit) di Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd. 

Di atas inisiatif luar kotak (out of the box) warga the Navy People dan Kementerian Pertahanan, pelaksanaan refit KD Laksamana Muhammad Amin adalah amat unik.

Diantara keunikan yang dimaksudkan ialah pelaksanaan “repowering” serta penukaran sebahagian besar badan kapal (hull) menggunakan konsep re-hull.

KD Amin
Kapal korvet KD Laksamana Muhamad Amin sebelum sistem peluru berpandu anti-pesawat dan anti-kapalnya dilucutkan.

 

“Repowering” adalah skop perkhidmatan selenggaraan melibatkan penggantian kesemua jentera utama, kotak gear, shafting, propeller dan set janakuasa termasuk switchboard serta kabel berkaitan. 

Manakala bagi konsep “re-hull, blok hull yang baharu dibina dan sebahagian peralatan yang terdapat di badan kapal yang lama dibawa keluar, dirombak pulih dan dipasang di hull baharu tanpa mengubah sepenuhnya reka bentuk asal.

Sementara itu,  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca insiden kebakaran.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan petang ini, mengesahkan kapal perang jenis korvet F136 Kelas Laksamana, iaitu KD Laksamana Muhammad Amin terbabit dalam kebakaran kecil jam 9.50 pagi.

Menurut kenyataan itu, kebakaran berkenaan disedari petugas kapal dan berjaya dipadamkan dalam tempoh 20 minit hasil tindakan pantas pihak kapal dengan bantuan pihak limbungan dan pasukan bomba.

KD Laksamana
Gambar terkini Kapal KD Laksamana Muhammad Amin. (kredit Grade One Marine)
KD laksamana
Gambar terkini KD Laksamana Muhammad Amin (kredit Grade One Marine)

 

“Bahagian kapal yang terjejas adalah sebahagian kecil laluan utama, ruangan penginapan belakang dan ruangan simpanan peluru.

“Sesuai dengan prosedur operasi standard TLDM, ketika kapal menjalani kerja pembaikan di limbungan, semua bahan letupan dipindahkan keluar untuk simpanan keselamatan.

“Kapal juga tidak dihuni sepanjang tempoh itu, melainkan petugas yang melaksanakan rondaan keselamatan pada masa yang ditetapkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan besar berlaku akibat kebakaran. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...