Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Terbaru Singapura “Diangkut” Pulang Ke Republik Itu?

Tidak pasti, mengapa kapal selam terbaru Singapura itu RSS Impeccable itu tidak belayar balik ke Singapura dengan sendiri dan memilih untuk diangkut oleh kapal pengangkut berat (Heavy Load Carrier) “Rolldock Storm” bagi perjalanannya ke republik itu. Mungkin lebih selamat dan menjimatkan untuk berbuat demikian?

0 13,259

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Nampaknya, kapal selam terbaru milik Tentera Laut Singapura Type 218SG daripada kelas-Invincible, sudah bersedia untuk “pulang” ke republik itu,  selepas beberapa tahun dibina di limbungan kapal milik syarikat Thyssenkrupp Marine Systems Shipyard (TKMS) di Kiel, Jerman.

Gambar-gambar di Twitter menunjukkan kapal selam kedua Type 218SG itu RSS Impeccable itu telah dinaikkan ke dalam dalam kapal Heavy Load Carrier “Rolldock Storm” untuk dihantar pulang ke Singapura.

RSS Impeccable adalah kapal selam Type 218SG kelas-Invincible yang kedua selepas RSS Invincible yang telah pun siap dibina pada 2019 dan berkemungkinan akan terus berada di Kiel untuk tujuan latihan krew kapal selam Singapura yang lain.

Type 218

Sementara itu, kapal selam yang kedua daripada empat yang ditempah oleh Tentera Laut Singapura daripada syarikat TKMS akan memulakan perjalanan pulangnya ke republik itu di atas sebuah kapal pengangkut berat.

Tidak pasti, mengapa kapal selam terbaru Singapura itu RSS Impeccable itu tidak belayar balik ke Singapura dengan sendiri dan memilih untuk diangkut oleh kapal pengangkut berat “Rolldock Storm” bagi perjalanannya ke republik itu.

Mungkin lebih murah dan selamat untuk “diangkut” oleh kapal pengangkut berat daripada Jerman ke Singapura berbanding belayar sendiri merentasi lautan dunia untuk sampai ke republik itu?

Walauapapun bagi penganalisis kapal selam serantau, kapal selam terbaru milik Singapura itu  merupakan aset bawah permukaan air yang  paling moden, paling besar daripada segi saiznya dan berkeupayaan di Asia Tenggara.

 Rekabentuk kapal selam terbaru Singapura  yang direkabentuk khusus untuk republik  itu dikatakan hampir sama dengan kapal selam Dolphin-2 Tentera Laut Israel (berkemungkinan sistem sensor dan lain juga adalah sama).

Type 218SG
Sumber Twitter

 

Dengan berat kira-kira 2,200 tan, kapal selam Type 218SG kelas-Invicible milik Singapura itu boleh beroperasi 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam lain yang kini dimiliki oleh republik itu, selain dilengkapi dengan sistem persenjataan dan sensor yang jauh lebih baik.

Dua buah lagi kapal selam Type 218SG iaitu “Illustrious” dan “Inimitable” iaitu “adik-adik” kepada RSS Invincible dan RSS Impeccable sedang menjalani kerja-kerja pembinaan di Limbungan Kapal TKMS di Kiel, Jerman pada ketika ini.

Kemasukan RSS Invincible dan “tiga beradiknya yang lain” bakal melonjakkan kemampuan bawah permukaan Tentera Laut Singapura ke tahap yang lebih tinggi, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai yang diperolehinya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.

Tidak dapat dinafikan angkatan kapal selam Singapura dengan kemasukkan RSS Invincible dan empat adik-beradiknya yang lain adalah yang paling ampuh dan berkeupayaan di rantau ini.

Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dilaporkan berkata, memandangkan tentera-tentera laut India, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia sedang berusaha untuk membesarkan lagi angkatan kapal selamnya, maka, tindakan Singapura memperolehi empat buah kapal selam Type 218SG daripada Jerman adalah suatu “langkah yang tepat.”

Type 218SG
Sumber Twitter

 

Katanya, memandangkan Singapura terletak di dua laluan perdagangan terpenting dunia iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan, maka kapal-kapal selam terbaru miliknya itu akan memastikan laluan perdagangan dunia itu terus bebas dan selamat digunakan bukan sahaja untuk republik itu tetapi juga seluruh dunia.

Satu lagi yang menarik tentang kapal selam Type 218SG Tentera Laut Singapura ini adalah ia direkabentuk khas untuk membolehkan ia beroperasi dengan penuh berkesan di laut-laut yang cetek dan sibuk dengan kapal-kapal komersial, sebagaimana yang terdapat di perairan di sekitar rantau Asia Tenggara yang sememangnya sibuk dengan laluan maritim perdagangan.

 “Antara ciri-ciri utama rekabentuk kapal selam terbaru Singapura ini adalah kemampuannya untuk melaksanakan misi pasukan khas,” menurut pakar kapal selam, H I Sutton di dalam portal berita pertahanan, Navalnews.com

 Beliau merujuk kepada sistem Horizontal Multi Purpose Airlock yang boleh melancarkan torpedo, penyelam dan pasukan-pasukan khusus (komando) kerana antara tugasnya utama yang digariskannya bakal dilaksanakan oleh kapal selam itu adalah menangani ancaman kumpulan-kumpulan pengganas.

Type 218 SG

Kesemua kapal selam terbaru Singapura itu mempunyai berat 2,000-2,200 tan (apabila di bawah permukaan) dan kelajuan 15 knot.

Ia memiliki panjang 70 meter dan lebar lebih 6 meter.

 Kapal selam Singapura ini memiliki lapan corong torpedo yang bukan sahaja boleh melancarkan torpedo berkaliber 533mm tetapi juga peluru berpandu anti kapal.

Ia juga akan dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP) menggunakan teknologi Fuel Cell yang membolehkan kapal selam itu menyelam 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang lain.

Sistem kombatnya pula direkabentuk oleh Atlas Elektronik dan ST Elektronics. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...