KF-21 “Boramae” Laksana Ujian Babit Peluru Berpandu “Meteor” BVR, Meriam Gatling 20mm
Ujian sistem persenjataan pesawat KF-21 "Boramae" dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) itu melibatkan pemisahan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” Beyond Visual Range (BVR) dan penembakan 100 das meriam Gatling 20mm.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pesawat pejuang generasi 4.5 yang sedang dibangunkan oleh Korea Selatan, KF-21 “Boramae” telah berjaya menjalankan ujian terhadap sistem persenjataan yang dibawanya, menurut kenyataan oleh agensi perolehan senjata negara itu.
Menurut Defense Acquisition Program Administration (DAPA), ujian sistem persenjataan itu melibatkan dua buah pesawat prototaip KF-21 dan dijalankan di kawasan ruang udara di selatan Korea Selatan.
Ujian sistem persenjataan pesawat itu melibatkan pemisahan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” Beyond Visual Range (BVR) daripada pesawat prototaip KF-21 yang kedua tanpa masalah, kata DAPA.
KF-21 "Boramae" lakukan ujian sistem persenjataan.https://t.co/bO7EYbvDp8 pic.twitter.com/xM2ZP3pxNB
— Defence Security Asia (@defence_asia) March 29, 2023
Dibangunkan oleh MBDA, peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” BVR memiliki kelajuan 4 Mach dan jarak operasi melebihi 100 km.
Manakala satu lagi ujian sistem persenjataan pula melibatkan pesawat prototaip KF-21 yang ketika pula melibatkan penembakan 100 das daripada meriam Gatling 20mm milik pesawat itu tanpa masalah.
Pada ketika ini, empat buah pesawat prototaip KF-21 sedang menjalankan pelbagai ujian teknikal sehingga tahun 2026 sebelum dibina secara besar-besaran untuk menggantilkan pesawat-pesawat F-5 dan F-4 Phanton milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia.
Menurut DAPA, ujian persenjataan itu dilakukan untuk mengenalpasti sebarang perubahan terhadap struktur pesawat itu, enjin dan ciri-ciri aerodinamik untuk memastikan kestabilannya dan keselamatan pesawat itu ketika beroperasi.
Keseluruhannya, pihak Korea Aerospace Industries (KAI) yang membangunkan pesawat KF-21 Boramae itu akan membangunkan enam buah pesawat prototaip yang akan menjalankan pelbagai ujian teknikal dan penerbangan.
“Dengan ujian terkini ini, pesawat KF-21 itu telah berjaya melangkah setapak lagi untuk menjadi pesawat pejuang yang lengkap dan menjaga keselamatan ruang udara negara,” menurut DAPA.
Sehingga kini, Korea Selatan telah melaksanakan lebih daripada 150 penerbangan ujian terhadap empat buah pesawat prototaip KF-21 Boramae sejak pesawat itu melakukan penerbangan sulungnya pada Julai tahun lepas.
DAPA merancang untuk memulakan penerbangan ujian terhadap dua lagi buah pesawat prototaip KF-21 pada pertengahan tahun ini di bawah perancangan untuk melaksanakan kira-kira 2,000 penerbangan sehingga pada Februari 2026.
Agensi itu merancang untuk melakukan ujian di seluruh kawasan penerbangan seperti di altitude tingg dan rendah serta dalam kelajuan rendah.
Ia juga merancang untuk melaksanakan ujian teknikal melibatkan pelbagai jenis sistem persenjataan yang lain, sama ada buatan luar negara atau syarikat-syarikat tempatan.
Dilancar pada 2015, Korea Selatan membelanjakan sejumlah US$6.8 bilion (RM27.2 bilion) untuk membangunkan pesawat KF-21 Boramae.
Pesawat pejuang generasi 4.5 buatan tempatan Korea Selatan, KF-21 “Boramae” akan mula dibina secara besar-besaran (mass production) bermula pada tahun 2026 bagi memenuhi keperluan tentera udara negara Asia Timur itu.
Dua tahun selepas itu pada tahun 2028, sejumlah 40 buah pesawat KF-21 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) akan diserahkan kepada Tentera Udara Korea Selatan bagi menggantikan pesawat berusia, F-4 Phantom serta F-5. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com