Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pentadbiran Biden, Kongres Amerika Terus “Bercakaran” Penjualan F-16 Pada Turkiye

Pentadbiran Presiden Recep Tayyep Erdogan memberi amaran kepada Washington bahawa ia bersedia membeli pesawat pejuang daripada negara-negara lain termasuk Eurofighter Typhoon, Rafale mahupun Su-35 sekiranya Kongres Amerika terus berkeras untuk mengenakan syarat yang disifatkan “tidak masuk akal” itu sebelum meluluskan permintaannya.

0 1,853

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Jo Biden dan pihak Kongres negara itu terus “bercakaran” sesama sendiri tentang persoalan sama ada mereka perlu melayan permintaan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit pemodenan pesawat F-16 yang dianggarkan bernilai US$20 bilion (RM80 bilion).

Terbaru, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken ketika memberikan keterangan pada Jawatankuasa Hal Ehwal Kongres negara itu berkata Turkiye perlu diberikan kebenaran untuk memperolehi pesawat-pesawat F-16 itu dan kit pemodenan yang dimintanya.

Kebenaran perlu diberikan kepada Ankara kerana Turkiye adalah negara anggota NATO yang penting,katanya.

F-16
Pesawat F-16 Turki

 

Beliau ditanya oleh jawatankuasa itu berkenaan usaha-usaha dilakukan oleh pentadbiran negara itu tentang usaha untuk memastikan “senjata-senjata buatan Amerika Syarikat tidak digunakan untuk mengancam rakan-rakan dan sekutunya”, yang jelas merujuk kepada Greek.

“Kami (pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat) percaya Turkiye perlu memperolehi pesawat-pesawat F-16 yang dinaiktaraf dan pakej pemodenan untuk pesawat-pesawat F-16 sedia ada miliknya.”

“Kami percaya ia adalah penting untuk NATO dan gabungan,” kata beliau.

Dalam masa yang sama,beliau juga berkata bahawa Amerika Syarikat berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan ketegangan di antara dua negara NATO iaitu, Turkiye dan Greek, dikendurkan dan kedua-dua negara itu tidak mengeluarkan kenyataan atau retorik akan memburukkan lagi keadaan.

Beberapa anggota kongres Amerika Syarikat terutama yang berkait dengan kumpulan-kumpulan lobi pro-Greek membantah penjualan pesawat-pesawat F-16 dan kit pemodenan kepada Turkiye.

F-16 Turki
Juruterbang wanita pesawat pejuang F-16 Turki

 

Usaha Turkiye membeli pesawat-pesawat F-16 itu berhadapan dengan syarat demi syarat oleh anggota Kongres Amerika Syariat yang menghendaki Ankara memberikan komitmen bahawa pesawat pejuang itu tidak digunakan untuk mencerobohi Greek.

Terbaru, 29 senator Republikan dan Demokrat Amerika Syarikat itu mahukan Turkiye bersetuju terlebih dahulu terhadap kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO, sebelum dibenarkan membeli varian terkini pesawat pejuang F-16 itu dan kit pemodenan itu.

“Sebaik sahaja kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO dipersetujui oleh Turkiye, Kongres Amerika Syarikat boleh menimbangkan penjualan pesawat pejuang F-16. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penjualan itu dikaji semula,” menurut surat yang ditujukan oleh kumpulan senator itu kepada Presiden Jo Biden.

Turkiye merupakan negara anggota NATO dan pengguna terbesar F-16 di luar Amerika Syarikat dengan 250 buah pesawat, sebahagian besarnya dibina sendiri secara berlesen oleh industri pertahanan negara itu.

F-16
Deretan pesawat F-16 Turki.

 

Bagi pentadbiran Presiden Recep Tayyep Erdogan, Turkiye mempunyai pilihan lain sekiranya Amerika enggan menjual pesawat F-16.

Pentadbiran Erdogan memberi amaran bahawa ia bersedia membeli pesawat pejuang daripada beberapa negara lain termasuk Eurofighter Typhoon, Rafale dan Su-35 sekiranya Washington berkeras untuk mengenakan syarat yang disifatkan “tidak masuk akal” itu.

 Spekulasi tentang kemungkinan Turkiye membeli pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu semakin hangat apabila pegawai-pegawai kanan tentera udaranya telah mengunjungi sebuah pangkalan udara Royal Air Force (RAF) untuk melihat dengan lebih dekat operasi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...