Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jika Hornet Ada Harpoon, “Cik Su” Pula Ada KH-31A (AS-17 Krypton)

Pihak TUDM tidak menyembunyikan jenis sistem peluru berpandu anti-kapal yang dibawa oleh Su-30MKM, malah ia pernah mempamerkan peluru berpandu anti-kapal pilihan pesawat buatan Russia itu kepada khalayak antarabangsa pada pameran Singapore Air Show beberapa tahun yang lepas.

0 8,009

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Memandangkan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara, ia turut dilengkapi dengan sistem peluru berpandu anti-kapal lancaran udara (air-launched anti ship missile)  yang berkemampuan tinggi buatan Russia. 

Pihak TUDM tidak menyembunyikan jenis sistem peluru berpandu anti-kapal yang dibawa oleh Su-30MKM, malah ia pernah mempamerkan peluru berpandu anti-kapal pilihan pesawat buatan Russia itu kepada khalayak antarabangsa pada pameran Singapore Air Show beberapa tahun yang lepas.

Ternganga sekejap pemerhati pertahanan antarabangsa yang hadir pada Singapore Air Show melihat deretan peluru berpandu anti-kapal yang dibawa pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM itu.

Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM menunjukkan peluru berpandu KH-31 pada pameran statik Singapore Air Show 2020.

 

Jika pesawat-pesawat F/A-18D Hornet TUDM membawa peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat dalam misi-misi maritimnya, bagi pesawat Su-30MKM pula dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal supersonik KH-31A  (AS-17 Krypton oleh NATO) buatan Russia.

Menggunakan kepala peledak armour-piercing, peluru berpandu KH-31A itu mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran seperti bot dan kapal peronda seberat sehingga 4,500 tan daripada jarak sejauh 70km.

Malaysia dikatakan memiliki sehingga 150 buah peluru berpandu anti-kapal KH-31A serta peluru berpandu anti-radiasi KH-31P, menurut badan pengkaji pasaran senjata antarabangsa.

Su-30MKM
Cik Su dengan KH-31 (Twitter)

 

Bagaimanapun, tiada kepastian di pihak Kementerian Pertahanan mahupun TUDM berkenaan maklumat ini.

Pesawat Su-30MKM TUDM dilaporkan mengadakan penembakan ujian peluru berpandu KH-31A itu pada tahun 2014, dengan sasaran telah berjaya dibedil dengan tepat.

Peluru berpandu anti-kapal KH-31A yang digunakan oleh pesawat Su-30MKM itu dibangunkan oleh syarikat Russia dikenali dengan nama–  Tactical Missiles Corporation atau sebelum ini dikenali sebagai Zvezda-Strela.

Peluru berpandu anti-kapal KH-31A dilengkapi radar aktif untuk mengesan sasarannya dan ia menggunakan pendekatan sea-skimming untuk menghampiri sasaran pada kelajuan Mach 2.7 selepas dilancarkan daripada pesawat pada kelajuan Mach 3.5 menggunakan teknologi scramjet serta built-in booster.

Ia berkemampuan menembusi sistem pertahanan musuh walaupun dalam suasana yang sarat dengan usaha electronic jamming bagi memusnahkan sasarannya.

MiG-35
Peluru Berpandu Anti-Kapal KH-31A (paling dekat)

 

KH-31A ini mula didedahkan pada khalayak ramai pada awal tahun 90-an.

Pada akhir tahun 1997, sejumlah peluru berpandu KH-31A telah dieksport ke China bagi digunakan oleh pesawat-pesawat Su-27 dan Su-30 yang dipasang secara berlesen oleh negara itu.

Selepas itu, syarikat China dikatakan telah mengubahsuai peluru berpandu KH-31A dan mengeluarkan varian yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan dikenali dengan nama YJ-91.

Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM TUDM (Gambar kredit TUDM)

 

Indonesia juga dikatakan menggunakan peluru berpandu KH-31A untuk pesawat-pesawat Sukhoi Su-30 tentera udaranya.

Beberapa hari lepas, media mendakwa pesawat tentera udara Russia dikatakan turut menggunakan peluru berpandu anti-radiasi KH-31P untuk membedil sistem pertahanan udara Ukraine. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...