Mengapa Guam Penting Untuk Tentera Amerika Di Pasifik?
Sekiranya China menyerang Taiwan atau Jepun, kedua-dua negara yang dijamin keselamatannya oleh Amerika Syarikat – maka Guam bakal menjadi pusat ketenteraan terpenting Washington untuk mempertahankan kedua-dua negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Guam yang terletak di Lautan Pasifik merupakan wilayah terkecil milik Amerika Syarikat dengan keluasannya hanyalah kira-kira 200 batu persegi.
Hubungan di antara Guam dengan Amerika Syarikat bermula kira-kira 100 tahun dahulu apabila ia mengambilalih pulau itu ketika Perang Amerika-Sepanyol.
Guam menjadi wilayah Amerika Syarikat pada 1898 sebelum Jepun menakluk dan menduduki pulau itu ketika Perang Dunia Kedua.

Amerika Syarikat membebaskan Guam pada 1945 daripada tentera Jepun dan pulau itu kembali semula sebagai wilayah Amerika.
Walaupun kecil daripada segi saiz, tetapi Guam disifatkan amat “aktif” daripada segi ketenteraan kerana ia menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat daripada kesemua cabang, udara, darat,laut dan bawah laut.
Dengan peningkatan ketegangan di antara Amerika Syarikat dan China, Guam berkemungkinan menjadi sasaran utama kepada pihak Beijing sekiranya konflik bersenjata tercetus di antara kedua-dua negara kuasa besar itu.
Walaupun terletak Lautan Pasifik, terdapat kemungkinan Guam menjadi sasaran peluru-peluru berpandu ballistik daripada “musuh” sekiranya peperangan berlaku di Pasifik.

Kedudukan utama Tentera Udara Amerika Syarikat di Guam adalah di Pangkalan Udara Andersen yang menjadi “rumah” kepada 193 buah pesawat tentera.
Pihak Tentera Amerika Syarikat menggunakan pangkalan udara di Guam itu untuk melancarkan pesawat-pesawat bagi operasi di kawasan serantau.
Pangkalan Udara Andersen tidak memiliki penempatan tetap pesawat-pesawat tetapi banyak pesawat tentera Amerika bergilir-gilir menjadikan Guam sebagai rumah sementaranya terutama pesawat-pesawat pengebom seperti B-1 Lancer dan B-52.
Comments are closed.