Kereta Kebal “Pendekar” Rosak Di Jalanraya Tengah KL, Sebabkan Kesesakan
Kereta kebal PT-91M "Pendekar" milik Kor Armor Diraja (KAD) Tentera Darat yang rosak itu berjaya ditunda pasukan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke suatu kawasan tidak diketahui kira-kira sejam selepas ia mengalami kerosakan di jalanraya terbabit.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebuah kereta kebal PT-91 “Pendekar” milik Tentera Darat dilaporkan rosak di susur Carcosa menghala ke KL Sentral kira-kira jam 10.27 pagi hari ini (Jumaat).
Perkara tersebut dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut ciapan KLCCC DBKL di Twitter, kejadian itu menyebabkan lorong jalan tengah tersebut terhalang dan trafik sesak.

“Renjer 01, 02, 05 dan 06 tiba di lokasi pada sekitar jam 10.49 pagi,” menurut ciapan di Twitter terbabit.
Beberapa anggota polis trafik membantu mengawal aliran trafik ketika proses pengalihan kereta kebal itu dilakukan.
Kereta kebal berkenaan berjaya ditunda pasukan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke suatu kawasan tidak diketahui kira-kira sejam selepas ia mengalami kerosakan di jalanraya terbabit.
Kereta kebal itu dipercayai terlibat dalam perbarisan di Dataran Merdeka sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
Aset ATM itu merupakan “peserta tetap” setiap kali perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Setakat ini,tiada kenyataan rasmi daripada ATM berhubung kerosakan yang dialami oleh kereta kebal terbabit.
Kor Armor Diraja (KAD) Tentera Darat memiliki 48 buah kereta kebal PT-91M yang dibeli daripada Poland dan dinamakan “Pendekar”.
Comments are closed.