PM Tiba Di Turkiye, Akan Lawat Kemudahan TAI Dan MKE Corp
Lawatan Perdana Menteri ke Turkiye bermula hari ini akan membawa beliau dan delegasi Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan yang dimiliki oleh dua syarikat pertahanan terkemuka negara itu, Turkish Aerospace Industries (TAI) dan MKE Corporation.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye, Selasa.
Pesawat khas yang membawa Ismail Sabri dan delegasinya mendarat di lapangan terbang Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGIA) pada pukul 8.40 pagi (1.40 petang waktu Malaysia).
Antara yang hadir bagi menyambutnya di lapangan terbang ialah Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Turut berada di lapangan terbang yang dimiliki dan dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad itu ialah Gabenor Sabiha Gokcen International Airport, Halil Avsar, Pengerusi MAHB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pegawai-pegawai tinggi dari kedua-dua negara.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan turut mengikuti lawatan Perdana Menteri itu.
Majlis sambutan rasmi bagi lawatan itu akan berlangsung di Ankara pada hari Khamis.
Lawatan atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan itu bermula dengan perdana menteri melawat ISGIA sebaik tiba.
Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara merekodkan RM16.97 bilion (AS$4.09 bilion) pada 2021, dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (AS$130.91 juta)

Pada Rabu, Perdana Menteri akan ke ibu negara Ankara dan dijadualkan melawat dua penggiat utama dalam industri pertahanan dan aeroangkasa di negara itu iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI).
MKE Corp merupakan pihak yang membangunkan meriam bergerak beroda 155mm 52 cal “Yavuz”.
Comments are closed.