Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Hampir Berikan Lampu Hijau Pada Turki Untuk Perolehi F-16 Block 70

Turki adalah antara negara paling banyak menggunakan pesawat F-16 selain Amerika Syarikat tetapi kebanyakkannya sudah berusia dan memerlukan “modification kit” untuk ia dinaiktaraf bagi membolehkan ia meneruskan khidmatnya kepada Tentera Udara Turki selain memperolehi varian pesawat F-16 yang termoden.

0 2,597

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Amerika Syarikat kini semakin hampir untuk memberikan lampu hijau kepada Turki untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 “modification kit” dianggarkan bernilai US$6 bilion (RM24 bilion) berikutan sokongan Ankara terhadap kemasukan Finland dan Sweden ke dalam NATO.

Kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO diluluskan pada Sidang Kemuncak NATO di Madrid pada 30 Jun lepas, selepas Turki mengugurkan bantahannya terhadap penyertaan kedua-dua negara itu.

Pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat Celeste Wallander berkata,  Amerika Syarikat menyokong penuh usaha-usaha permodenan pesawat pejuang Turki kerana menganggap negara itu sebagai sekutu penting NATO yang berkemampuan. 

F-16 Turki
Pesawat F-16 Turki

 

Menurutnya, usaha pemodenan pesawat pejuang Turki itu juga akan menyumbang kepada keselamatan keseluruhan NATO. 

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dalam sidang media selepas sidang kemuncak NATO itu juga memberitahu bahawa negara menyokong usaha pemodenan tentera udara Turki. 

Turki adalah antara negara paling banyak menggunakan pesawat F-16 selain Amerika Syarikat tetapi kebanyakkannya sudah berusia dan memerlukan “modification kit” untuk ia dinaiktaraf bagi membolehkan ia meneruskan khidmatnya kepada Tentera Udara Turki selain memperolehi varian pesawat F-16 yang termoden.

Ia telah menggunakan pesawat F-16 selama 35 tahun, dengan tentera udaranya memiliki sehingga 270 buah pesawat F-16C/D.

Walaupun usaha Turki untuk memperolehi varian termoden F-16 Block 70 dan kit permodenan F-16 itu berjaya selepas persetujuannya terhadap penyertaan Sweden dan Finland, namun usaha Ankara untuk dimasukkan semula ke dalam program F-35 nampaknya tidak berjaya. 

F-16 Turki
Juruterbang wanita pesawat pejuang F-16 Turki

 

Washington tetap menghendaki Turki supaya menamatkan penggunaan sistem pertahanan udara S-400, sebelum dibenarkan kembali ke dalam program pesawat pejuang F-35.

Dibawah program itu, Turki sepatutnya memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin. 

Rancangan pembangunan pesawat-pesawat pejuang F-16 Tentera Udara Turki termasuk perlaksanaan di bawah Projek Ozgur yang melibatkan usaha menaiktaraf 35 buah pesawat F-16 Block 30 dengan teknologi tempatan serta pembelian 80 “modification kit” untuk pesawat F-16 daripada varian awal. 

Pembangunan pesawat-pesawat F-16 Turki itu turut meliputi pembelian 40 buah pesawat F-16 Block 70 yang merupakan varian termaju bagi pesawat pejuang itu. 

F-16

Selain itu, Turki dikatakan sedang menimbangkan untuk memperolehi kira-kira 80 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon selepas usahanya untuk mendapatkan 80 “modification kit” pesawat F-16 dan varian pesawat itu yang lebih maju tidak mendapat sebarang respons daripada Amerika Syarikat, sebelum Sidang Kemuncak NATO minggu lepas itu.

Ankara juga mahu menjadikan pesawat Eurofighter Typhoon sebagai “stop gap measures” sementara pesawat pejuang generasi ke-lima yang sedang dibinanya “T-FX”  benar-benar mencapai kemajuan dan operasional.

— DSA

 

 

Comments
Loading...