Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Dakwa Pesawat “Tejas” Adalah Pilihan Utama TUDM Ketika Ini

Apa yang mungkin membuatkan tawaran oleh syarikat India itu menarik adalah kerana ia turut menawarkan untuk menubuhkan kemudahan MRO (Maintenance, Repair and Overhaul) di Malaysia untuk membantu penyelenggaraan pesawat Su-30MKM yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

0 3,014

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Pesawat pejuang ringan/latihan buatan India, “Tejas” dilaporkan kini muncul sebagai pilihan utama kepada Malaysia sebagai untuk menggantikan  pesawat-pesawat pejuangnya yang telah berusia, menurut syarikat yang membangunkan pesawat pejuang ringan kebanggaan India itu..

Bercakap kepada agensi berita India, Press Trust of India (PTI), pengerusi dan pengarah urusan syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) R. Madhavan berkata kedua-dua pihak (India dan Malaysia) telah mengadakan rundingan dalam usaha untuk merealisasikan perolehan pesawat pejuang daripada India.

Menurut Madhavan,  Malaysia telah menyenarai pendek pesawat pejuang buatan India itu walaupun menerima saingan hebat daripada pesawat JF-17 buatan China, pesawat FA-50 daripada Korea Selatan, MiG-35 dan Yak-130 daripada Russia. 

Tejas
Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

Apa yang mungkin membuatkan tawaran oleh syarikat India itu lebih menarik berbanding pesaingnya adalah kerana ia turut menawarkan untuk menubuhkan kemudahan MRO (Maintenance, Repair and Overhaul) di Malaysia untuk membantu penyelenggaraan pesawat Su-30MKM yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sebagaimana yang kita tahu 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM berhadapan dengan masalah mendapatkan alat ganti kerana  sekatan ekonomi yang dihadapi oleh Russia akibat pencerobohannya terhadap Ukraine.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa stok alat ganti pesawat Su-30MKM yang dimiliki oleh Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC)  cukup untuk menampung keperluan operasi pesawat itu selama dua tahun.

“Saya amat yakin (terhadap peluang India dan Tejas) kecuali terhadap perubahan daripada segi politik,” kata Madhavan ketika ditanya sama ada keputusan Malaysia akan diumumkan tidak lama lagi.

Tejas

Beliau berkata sekiranya syarikat HAL itu memperolehi kontrak daripada Malaysia, ia akan memberikan” signal” kepada pembeli-pembeli berpotensi pesawat Tejas yang lain, sekaligus meningkatkan peluang eksportnya.

“Rundingan (dengan Malaysia) telah memasuki peringkat akhir. Kami (India) adalah satu-satunya negara yang menawarkan sokongan terhadap pesawat Su-30 mereka, sokongan yang sepatutnya dilakukan oleh pesawat-pesawat Sukhoi,” kata beliau.

Menurut PTI, pesawat JF-17 yang ditawarkan oleh China kepada Malaysia itu adalah lebih murah daripada segi harganya tetapi tidak mampu menyaingi spesifikasi teknikal pesawat Tejas serta tawaran penyelenggaraan serta bekalan alat ganti pesawat Su-30MKM.

Agensi berita India itu berkata pegawai-pegawai kanan Malaysia dijangka melawat India tidak lama lagi untuk berbincang tentang perolehan itu Tejas itu.

SU-30MKM
Pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Menurut Madhavan lagi,  pesawat Tejas adalah lebih baik berbanding pesawat JF-17 dan FA-50, dengan HAL turut menawarkan opsyen untuk menaiktaraf Tejas pada masa depan. 

“Kita ada satu-satunya syarikat yang memenuhi keperluan dan bajet mereka (Malaysia),” kata Madhavan. 

Selain tawaran menyelenggara dan bekalan alat ganti pesawat Su-30MKM, India juga bersedia membeli lebih banyak minyak sawit daripada Malaysia dan menawarkan beras, gula dan sistem persenjataan keluaran syarikat pertahanannya sebagai “bayaran” terhadap minyak sawit yang diperolehinya daripada negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia,B N Reddy dalam temuramah dengan media kewangan tempatan, The Edge baru-baru ini. — DSA

 

Comments
Loading...