Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

S’pura Belanja Dekat RM10 Bilion Untuk Operasi F-16 “Paling Moden”

Selepas selesai kerja-kerja peningkatan kemampuan yang dianggarkan bernilai US$2.4 bilion (RM9.6 bilion), pesawat-pesawat F-16 Fighting Falcon milik Tentera Udara Singapura diperakui sebagai antara varian pesawat pejuang itu yang paling canggih di pasaran.

0 3,586

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak daripada Jun tahun lepas, Tentera Udara Singapura telah mula mengoperasikan pesawat-pesawat F-16 yang telah selesai menjalani kerja-kerja peningkatan kemampuan yang dilakukan oleh firma Lockheed Martin dan syarikat tempatan, ST Engineering.

Selepas selesai kerja-kerja peningkatan kemampuan yang dianggarkan bernilai US$2.4 bilion (RM9.6 bilion), pesawat-pesawat F-16 Fighting Falcon milik Tentera Udara Singapura diperakui sebagai antara varian pesawat pejuang itu yang paling canggih di pasaran.

Republik yang berkeluasan kira-kira 700 km persegi itu diperakui memiliki tentera udara paling berkemampuan di Asia Tenggara, dengan 40 buah F-16C/D  Block 52 dan 20 buah F-16D Advanced Block 52.

F-16

 

Selain itu, republik yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia itu juga memiliki 40 buah pesawat pejuang F-15SG.

Walaupun kerja-kerja prototaip dilakukan oleh Lockheed Martin di kemudahan firma itu di Amerika Syarikat, namun kerja-kerja seterusnya telah dilakukan dalam negara oleh syarikat tempatan, ST Engineering sebagaimana disahkan oleh pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pertahannya.

Dalam satu pertemuan dengan media menjelang Singapore Air Show pada Februari tahun ini, Panglima Tentera Udara Singapura Mejar Jeneral Kelvin Khong mengesahkan bahawa,  pihaknya telah mula menerima pesawat-pesawat F-16 yang telah dipertingkat kemampuan pada Jun tahun lepas.

F-16
Pesawat F-16 Singapure dengan pesawat Su-30MKI Tentera Udara India.

 

Selepas kerja-kerja peningkatan kemampuan dan naiktaraf itu, 60 buah pesawat F-16 Singapura yang mula memasuki perkhidmatan tentera udara republik itu pada 1998 itu mampu berkhidmat untuk tempoh 10 tahun lagi.

Peningkatan kemampuan pesawat-pesawat F-16 Tentera Udara Singapura itu akan melihat ia dilengkapi dengan radar baru iaitu AN/APG-83 Active Electronically Scanned Array (AESA) yang akan membolehkan ia mengesan musuh dan ancaman pada kedudukan yang lebih jauh, lebih cepat  berbanding radar yang digunakannya sebelum ini.

Radar AESA Scalable Agile Beam Radar (SABR) itu dibangunkan oleh firma Northrop Grumman dan mempunyai kemampuan untuk mengesan musuh dan sasaran pada jarak lebih daripada 370km.

F-16
GBU-38

 

Selain radar AESA yang berkuasa tinggi, pesawat-pesawat F-16 milik republic itu yang dipertingkatkan kemampuan itu juga akan dilengkapi dengan mission computer yang baru serta Joint Helmet-Mounted Cueing System  (JHMCS) bagi memudahkan tugas juruterbang pesawat itu dalam menangani misi yang dipikulnya itu.

Sistem JHMCS yang digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 Singapura akan menggantikan sistem DASH (Display and Sight Helmet) oleh syarikat Elbit daripada Israel digunakannya sebelum ini.

Selain itu 60 buah pesawat-pesawat F-16 Singapura yang dipertingkatkan kemampuan itu juga akan diintergrasikan dengan peluru berpandu udara-ke-udara  AIM-9X bagi membolehkan penyeragaman dengan pesawat-pesawat F-15SG miliknya.

SDB
Small Diameter Bomb

 

Peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X itu didakwa oleh syarikat pembuatnya, Raytheon Missile and Defense sebagai peluru berpandu udara-ke-udara jarak infra-red tracking dekat paling berkesan di dunia pada ketika ini.

Jarak operasi AIM-9X dikatakan sejauh 35km.

Dibawah pakej peningkatan kemampuan dengan syarikat Lockheed Martin itu, pesawat-pesawat F-16 Singapura itu juga akan memiliki kemampuan membawa pelbagai jenis persenjataan lain termasuk GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM), GBU-49/50 Enhanced Paveway II Dual-Mode Guided Bomb serta CBU-105 Sensor-Fuzed Weapon.

Radar
Radar AESA AN/APG-83

 

Pesawat F-16 yang dinaiktaraf ini juga akan dilengkapi dengan datalinks yang lebih maju serta Small Diameter Bomb (SDB) bagi serangan-serangan tepat terhadap aset musuh tanpa menyebabkan kerosakan collateral.

Pesawat-pesawat F-16 Singapura itu ditempatkan di pangkalan udara di republik dan juga di pangkalan alternatifnya di Luke Air Force Base, Amerika Syarikat bagi tujuan latihan dan sebagainya.

Selain Singapura, Taiwan dan Korea Selatan juga sedang menaiktaraf pesawat-pesawat F-16 kepada varian yang sama seperti pesawat pejuang Fighting Falcon milik republik jiran kita itu. — DSA

 

 

 

Comments
Loading...