Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Latihan Airborne Tentera China Sasarkan Penawanan Pulau Layang-Layang?

Penyelidik tentera Jepun, Lt Kol Aita Moriki dalam kertas kerjanya berkata Pulau Layang-Layang (Malaysia), Pulau Taiping (Taiwan), Pulau Pag-asa (Filipina) dan Pulau Spratly (Vietnam) dijadikan sasaran oleh tentera China dalam latihan airborne membabitkan 16 pesawat pengangkutnya pada 31 Mei tahun lepas.

0 5,975

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pulau Layang-Layang milik Malaysia di Laut China Selatan dipercayai telah dijadikan salah satu sasaran oleh tentera China yang melaksanakan latihan airborne melibatkan 16 buah pesawat pengangkut tentera negara itu berhampiran Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei tahun lepas.

Dalam latihan airborne yang melibatkan 16 pesawat pengangkut IL-76 dan Y-20 itu, tentera China dipercayai mensasarkan penawanan landasan-landasan kapal terbang yang terdapat di Pulau Layang-Layang (Malaysia), Pulau Taiping diduduki Taiwan, Pulau Pag-asa (Filipina) dan Pulau Spratly (Vietnam).

Pendapat mengenai kemungkinan operasi airborne China untuk menawan empat pulau di Laut China Selatan yang masih belum dikuasai oleh Beijing itu telah disuarakan oleh penyelidik tentera Jepun Lt Kol Aita Moriki dalam satu kertas kerjanya di Japan Air Self Defense Force (JASDF) Center for Air and Space Power Strategic Studies (CASPSS).

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

 

Lt Kol Aita seorang penyelidik di CASPSS juga merupakan juruterbang dan bekas Komander 302nd Tactical Fighter Squadron, JASDF.

Dalam kertas kerja bertajuk “ The True Meaning of the Chinese Air Force’s Flying Transport Aircraft Near Malaysia: Airborne Units in Power Projection “, beliau berkata, tentera China sedang merancang operasi airborne melibatkan pengguguran anggota tentera payung terjun di keempat-empat pulau yang masih belum dikuasainya di Laut China Selatan.

Operasi airborne oleh tentera China itu melibatkan anggota payung terjunnya digugurkan untuk menawan landasan kapal terbang yang terdapat di pulau-pulau di Laut China Selatan terdiri daripada Pulau Taiping  (Taiwan), Pulau Layang-Layang (Malaysia), Pulau Pag-asa (Filipina) dan Pulau Spratly (Vietnam).

Airborne

Pesawat-pesawat pengangkut tentera China dipercayai telah melakukan penerbangan di ruang udara berhampiran pulau-pulau terbabit pada 31 Mei lepas,  bagi membiasakan mereka keadaan persekitaran di pulau-pulau itu (sama ada pulau semulajadi atau pulau-pulau buatan manusia)

“Untuk tujuan itu, berkemungkinan krew-krew pesawat pengangkut tentera China berlatih melakukan profil penerbangan dalam formasi in-trail dipisahkan sejauh 60 batu nautika, membiasakan diri mereka dengan keadaan topografi sekeliling.”

“Ini adalah misi oleh formasi pesawat-pesawat tentera China itu,” menurut  Lt Kol Aita di dalam kertas kerjanya itu.

TUDM
Sebuah pesawat pengangkut China Ilyushin-76 yang dipintas oleh pesawat Hawk 208 TUDM ketika menghampiri Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei tahun lepas.(kredit TUDM)

 

Penerbangan 16 buah pesawat China menghampiri ZMM itu boleh disifatkan sebagai “China Blitzkrieg” bertujuan untuk menawan landasan kapal terbang di pulau-pulau terbabit yang masih belum dikuasai oleh China di Laut China Selatan termasuk Pulau Layang-Layang.

Beliau berkata “China Blitzkrieg” ini boleh berlaku pada waktu aman bertujuan untuk menyukarkan mana-mana pihak mengagak tindakan yang bakal diambil oleh China.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan pada 1 Jun 2021 iaitu sehari selepas kejadian menggemparkan itu berkata,  ia telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Hawk
Pesawat Hawk 208 TUDM dibangunkan oleh syarikat BAE Systems.

 

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM dalam kenyataan itu.

Y-20
Pesawat pengangkut Xian Y-20 China, sebagaimana yang dirakam oleh TUDM menceroboh ruang udara negara pada 31 Mei lepas.

 

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM lagi.

TUDM berkata, pesawat-pesawat tentera udara China itu telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.

Pesawat-pesawat tentera China itu seterusnya terbang menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

TUDM
Anggota payung terjung China ketika melakukan latihan airborne menggunakan pesawat pengangkut Y-20.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas Hawk pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” kata TUDM.

TUDM
Pesawat pengangkut Y-20 millik China yang dipintas oleh pesawat Hawk TUDM ketika itu terbang di Zon Maritim Malaysia pada 31 Mei lepas.  (kredit TUDM)

 

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman KEDAULATAN NEGARA dan KESELAMATAN PENERBANGAN berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR,” menurut TUDM lagi

Pada 3 Jun tahun lepas, Wisma Putra telah menyerahkan nota diplomatik kepada Duta Besar China ke Malaysia berkenaan insiden “penerbangan mencurigakan” pesawat-pesawat tentera negara itu di Zon Maritim Malaysia pada 31 Mei lepas.

Pulau Layang-Layang atau Terumbu Layang-Layang terletak 162 batu nautika bersamaan 300 km dari barat laut Kota Kinabalu, yakni dalam lingkungan 200 batu nautika zon eksklusif seperti yang dibenarkan menurut Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

— DSA

 

Comments
Loading...