Russia Cadang Kerah Kapal Perang Terkuatnya Ke Laut Hitam Hadapi Ukraine?
Kehadiran kapal-kapal kruiser berkuasa nuklear -- “Pyotr Velikiy” dan “Admiral Nakhimov” seberat 28,000 tan atau salah satunya ke Laut Hitam berhampiran Ukraine sudah tentu akan meningkatkan moral anggota tentera laut Russia yang tersentak akibat tenggelamnya kapal perang seberat lebih 11,000 tan “Moskva” pada 14 April yang lalu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas tenggelamnya kapal kruiser kelas-Slava “Moskva” beberapa minggu lepas, persoalan timbul sama ada terdapat keperluan bagi Russia mengerah kapal perang permukaan terbesar dan terkuatnya dikenali dengan nama — “Pyotr Velikiy” dan “Admiral Nakhimov” seberat 28,000 tan setiap satu untuk menyertai konflik dengan Ukraine.
Kehadiran kapal-kapal “Pyotr Velikiy” dan “Admiral Nakhimov” atau salah satunya ke Laut Hitam berhampiran Ukraine sudah tentu akan meningkatkan moral anggota tentera laut Russia yang tersentak akibat tenggelamnya kapal perang seberat lebih 11,000 tan “Moskva” pada 14 April yang lalu.
Kapal perang “Moskva” berkuasa konvensional itu tenggelam selepas dibedil oleh peluru berpandu anti kapal “Neptune” Tentera Ukraine.

Pada ketika ini, Tentera Laut Russia memiliki kira-kira 21 buah kapal perang pelbagai jenis di Laut Hitam dengan “Moskva” adalah kapal perang terbesar dan paling berkuasa dimiliki negara itu di laut berkenaan, sebelum ia tenggelam dan berkubur di dasar Laut Hitam.
Bagaimanapun peluang untuk melihat kehadiran kedua-dua kapal perang terbesar dan terkuat Tentera Laut Russia di Laut Hitam mungkin tidak kesampaian berikutan tindakan Turki menutup Selat Bosphorus untuk ke laut strategik itu daripada sebarang kapal perang termasuk daripada Russia, Ukraine mahupun Amerika Syarikat.
Turki bertindak sedemikian untuk mengelak konflik di Ukraine itu daripada merebak.
Dibawah Konvensyen Montreux, Ankara diberi kebenaran untuk menutup selat itu daripada segala kapal perang.
Dengan berat 28,000 tan, kedua-dua kapal kruiser kelas-Kirov “Pyotr Velikiy” dan “Admiral Nakhimov” itu adalah kapal perang permukaan yang terberat dan terbesar didunia selain kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier).

Bagi kapal yang didesignasi sebagai kruiser berat (heavy battlecruiser), ia sememangnya adalah amat besar berbanding kapal-kapal kruiser tentera laut negara Barat yang hanya memiliki berat sekitar 10,000 tan sahaja.
Kapal kruiser Tentera Laut Amerika Syarikat USS Lake Champlain memiliki berat sekitar 9,800 tan.
Comments are closed.