F-35 “Bertembung” J-20 “Mighty Dragon”. Apa Kesudahannya?
Pengakuan oleh seorang Jeneral Tentera Udara Amerika Syarikat itu menandakan "pertembungan" julung-julung kali di antara pesawat pejuang termoden Amerika Syarikat F-35 dengan pesawat kombat tercanggih China, J-20 "Mighty Dragon".
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pegawai kanan Tentera Udara Amerika Syarikat mengakui bahawa pesawat pejuang generasi kelima dan termoden negara itu, F-35 pernah bertembung sekurang-kurangnya sekali dengan pesawat pejuang termoden China, J-20 “Mighty Dragon” di Laut Timur China.
Ia menandakan pertembungan buat pertama kali di antara kedua-dua pesawat pejuang termoden daripada dua negara seteru ketat.
Pengakuan tentang pertembungan di antara dua buah pesawat termoden kedua-dua negara itu dibuat oleh Komander US Pacific Forces, US Air Force Jeneral Kenneth Wilscbach dalam satu perbincangan di Mitchell Institute for Aerospace Studies baru-baru ini.
“Ia adalah terlalu awal untuk mengatakan apa sebenarnya yang mahu dilakukan oleh China dengan J-20, apa yang dapat kita perhatikan adalah ia adalah pesawat air superiority.
“Apa yang kita dapat perhatikan adalah ia terbang dengan baik. Baru-baru ini, kita mengalami pertembungan- di mana kita (F-35) terbang dekat dengan pesawat J-20 di Laut Timur China dan kami secara relatifnya tertarik dengan kawalan dan pemerintahan pesawat J-20 itu,”
“Kita melihat pesawat diterbangkan secara professional tetapi adalah terlalu awal untuk menentukan apakah yang mereka mahu lakukan dengan pesawat J-20, samada seperti F-35 yang berkemampuan melaksanakan pelbagai misi atau lebih kepada F-22 yang lebih kepada pesawat air superiority dengan kemampuan udara ke darat,”kata jeneral Tentera Udara Amerika Syarikat itu.
Beliau turut bercakap tentang pesawat AEW&C China iaitu Shaanxi KJ-500 yang merupakan pesawat AEW&C generasi ketiga yang digunakan oleh Tentera Udara China dan dibangunkan oleh syarikat Shaanxi Aircraft Corporation.
“Pesawat AEW&C KJ-500 memainkan peranan yang penting dalam kemampuan pesawat J-20 itu melancarkan serangan daripada jarak jauh.
“Antara peluru berpandu jarak jauh mereka (J-20 dan pesawat-pesawat pejuang China lain) seperti PL-15 yang dikatakan mempunyai jarak lebih daripada 107 Batu Nautika (200km) dibantu oleh pesawat KJ-500.
“Berkemampuan untuk menganggu hubungan di antara J-20 dengan KJ-500 adalah sesuatu yang menarik perhatian saya,” kata Wilscbach.
Kenyataan oleh Wilscbach itu mungkin membawa makna bahawa pesawat KJ-500 itu mengenalpasti dan memberikan sasaran kepada pesawat J-20 untuk dimusnahkan oleh peluru berpandu PL-15.
Tentera China kini meningkatkan pengeluaran (produksi) pesawat generasi kelimanya, J-20 “Mighty Dragon” sebaik sahaja selepas pesawat halimunan (stealth) itu dilengkapkan dengan enjin keluaran tempatan “WS-10C”.
Enjin “WS-10C” itu dikatakan setaraf, jika bukan lebih baik daripada enjin Pratt & Whitney F119-PW-100 yang digunakan oleh pesawat F-22 “Raptor.”
Sebelum menggunakan enjin tempatan WS-10C buatan syarikat tempatan, Shenyang Liming Aircraft Engine Company, pesawat J-20 itu menggunakan enjin Saturn “AL-31F” buatan Russia.
Pemerhati tentera di China dengan bangga mendakwa bahawa enjin WS-10C yang dipanggil “Taihang” itu mempunyai keupayaan yang sama sebagaimana enjin yang digunakan oleh pesawat halimunan Amerika Syarikat, F-22 Raptor.
Pesawat J-20 “Mighty Dragon” itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industrial Group Co Ltd dibawah Aviation Industry Corporation of China.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Baru-baru ini, terdapat laporan mengatakan bahawa China mula mengerahkan pesawat J-20 ke kawasan pemerintahan selatannya yang merangkumi Laut China Selatan, selepas pengeluaran pesawat itu dipertingkatkan apabila ia dilengkapi enjin buatan tempatan.
Pada ketika ini, pemerhati tentera antarabangsa menganggarkan di antara 50 hingga 60 buah pesawat J-20 telah pun beroperasi di dalam Tentera Udara China dan dengan pemasangan enjin buatan tempatan bermakna produksinya akan hanya dipertingkatkan dengan lebih banyak. — DSA