Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mengapa Amerika Enggan Jual Pesawat F-22 Raptor, Termasuk Sekutu Rapatnya?

Dikategorikan sebagai "Air Superiority Fighter", pesawat F-22 Raptor dianggar bernilai US$250 juta sebuah (RM1 bilion) dan dikatakan adalah pesawat pejuang tercanggih dunia yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi sensitif.

0 10,863

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Amerika Syarikat memiliki pesawat pejuang yang dikatakan paling canggih didunia dipanggil “F-22 Raptor”,  yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara itu, Lockheed Martin.

Pesawat pejuang F-22 Raptor itu juga pernah berkunjung ke Malaysia pada 2014 untuk menyertai latihan Cope Taufan dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Sejumlah enam buah pesawat Raptor berada di Malaysia pada ketika itu.

Sebuah pesawat Raptor yang dikategorikan sebagai “Air Superiority Fighter” ini dianggarkan berharga US$250 juta (RM1 bilion).

Pesawat Raptor ini dikatakan amat canggih dan dilengkapi dengan pelbagai teknologi sensitif sehinggakan kongres negara itu pada tahun 1998 meluluskan peruntukan undang-undang dipanggil “Obey Amendment”, yang melarang sebarang penjualan pesawat F-22 Raptor itu kepada mana-mana negara asing termasuk sekutu paling rapatnya.

Malah negara yang paling rapat dengan Amerika Syarikat iaitu Israel juga tidak memiliki walau sebuah pesawat F-22 Raptor pun, walaupun negara itu dan Australia dikatakan amat berminat untuk memilikinya.

F-22 Raptor

“Obey Amendment” ini adalah atas cadangan dan kebimbangan anggota kongres itu sendiri bernama David Obey.

Apa yang amat dibimbangi oleh anggota kongres David Obey itu sekiranya Amerika Syarikat menjual pesawat F-22 kepada negara-negara sekutunya?

Kebimbangan utama David Obey adalah ada di antara teknologi canggih dan amat sensitif yang digunakan untuk membangunkan pesawat pejuang itu boleh “diciplak” menggunakan kaedah reverse-engineering oleh negara-negara yang membelinya.

Paling dibimbangnya beliau adalah negara-negara sekutu Amerika Syarikat itu akan menciplak teknologi stealth (halimunan) yang amat unik kepada pesawat F-22 Raptor itu.

Paling utama kebimbangan kongres negara itu adalah Israel yang berkemungkinan menjadi negara eksport pertama pesawat F-22 Raptor.

Washington bimbang Israel akan “membocorkan” rahsia tentang teknologi halimunan pesawat tercanggih dunia itu itu kepada China, sebagaimana dilakukannya ketika membantu Beijing membangunkan pesawat pejuang J-10.

Teknologi stealth yang ada pada pesawat F-22 itu dikatakan jauh lebih baik daripada apa yang ada pada pesawat F-35 Lightning yang digunakan oleh Tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya pada ketika ini.

Radar cross-section daripada pesawat F-22 Raptor adalah jauh lebih kecil berbanding pesawat F-35.

Dikatakan radar cross-section pesawat F-22 Raptor adalah sebesar seekor lebah, menunjukkan betapa hebatnya teknologi halimunan pesawat pejuang itu sehingga menyebabkan Amerika Syarikat meminda undang-undang untuk melarang sebarang penjualan pesawat itu kepada sekutu-sekutunya termasuk rakan karibnya, Israel.

Pesawat Raptor itu diselaputi dengan “top secret coating” yang membuatkan pesawat itu lebih halimunan daripada pesawat—pesawat halimunan yang lain, membolehkannya menyerap radar signature dan bukan sekadar deflect radar signature itu.

Untuk membangunkan teknologi halimunan F-22 itu memerlukan pelaburan berbilion dollar dan tempoh bertahun-tahun.

F-22 Raptor
Pesawat F-22 Raptor

 

Pihak tentera Amerika Syarikat juga bimbang “rahsia”” tentan jenis bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan pesawat F-22 Raptor dan kemampuannya juga akan jatuh ke tangan pesaing-pesaingnya.

Dengan kos sebanyak US$62 bilion untuk membangunkan pesawat F-22 Raptor ini, Tentera Udara Amerika Syarikat pada mulanya bercadang untuk membeli sejumlah 750 buah pesawat ini bagi kegunaannya.

F-22 Raptor

Bagaimana disebabkan kosnya yang terlalu tinggi serta kekangan undang-undang yang tidak membenarkan pesawat itu dijual kepada sekutu Amerika Syarikat, maka pada ketika ini tentera udara negara itu hanya memiliki 187 buah pesawat F-22 Raptor.

Bilangan pesawat tercanggih dunia yang masih terbang pula berkemungkinan hanya tinggal di dalam puluhan sahaja.

Jikalau pesawat F-22 Raptor itu dijual kepada negara-negara sekutu Amerika Syarikat, maka kos pembuatan pesawat itu dapat direndahkan dan ia akan membolehkan negara itu melanjutkan lagi program pembangunannya.

Tetapi malangnya,  “Obey Amendment” yang bertujuan menghalang penjualan pesawat F-22 itu jugalah menjadi “pembunuh” kepada pesawat itu.

Akhirnya pada 2012, pesawat terakhir F-22 Raptor iaitu yang ke-187 keluar daripada kilang Lockheed Martin,menandakan berakhirnya pengeluaran pesawat pejuang tercanggih dunia dan digantikan dengan F-35 Lightning.

Walaupun ada percubaan untuk merekabentuk pesawat F-22 untuk pasaran eksport (berkemungkinan tanpa teknologi dan sistem yang canggih dan sensitif), tetapi dengan adanya pesawat F-35, sebarang usaha untuk menghidupkan kembali projek F-22 itu akan menemui jalan buntu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...