“Tarantula” Bakal Bersaing Dalam Tender Penggantian Condor Tentera Darat
Penyertaan kenderaan perisai “Tarantula” oleh syarikat MILDEF dalam tender penggantian Condor yang dikatakan bakal dibuka tidak lama lagi, amat baik untuk industri pertahanan tempatan kerana ia mengketengahkan satu produk keluaran tempatan yang direkabentuk 100 peratus oleh anak-anak tempatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya tender bagi perolehan kira-kira 400 kenderaan berperisai untuk Tentera Darat bagi menggantikan Radpanzer Condor yang dikatakan bakal dibuka tidak lama lagi, akan turut disertai oleh sebuah syarikat tempatan yang mempertaruhkan kenderaan berperisai yang direkabentuk dan dibina 100 peratus oleh anak-anak tempatan.
Defence Security Asia difahamkan bahawa syarikat tempatan milik 100 peratus Bumiputera, MILDEF International Technologies Sdn Bhd (MILDEF) akan mempertaruhkan kenderaan berperisai “Tarantula” untuk tender penggantian kenderaan berperisai Condor yang bakal dibuka itu.
“Tarantula akan memasuki tender penggantian kenderaan perisai Condor,”menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya kepada DSA hari ini.
Penyertaan kenderaan perisai “Tarantula” dalam tender penggantian Condor yang bakal dibuka tidak lama lagi itu amat baik untuk industri pertahanan tempatan kerana ia mengketengahkan satu produk keluaran tempatan yang direkabentuk 100 peratus oleh anak-anak tempatan.
“Tarantula” bukanlah kenderaan perisai luar yang dipasang secara berlesen oleh syarikat tempatan dan dinamakan (re-badge) sebagai “kenderaan tempatan”.

Kenderaan keluaran MILDEF itu adalah 100 peratus direkabentuk oleh anak tempatan dan dikeluarkan oleh syarikat 100 peratus Bumiputera.
Pada April lepas, bercakap ketika majlis penamaan “Tarantula” Menteri Pertahanan pada ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kereta perisai itu telah melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Kementerian Pertahanan.
“Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari, ia merangkumi perjalanan 700 kilometer (km) dan 300 km lagi ujian panduan ‘offroad’,” kata beliau yang kini adalah Perdana Menteri Malaysia.
Ismail Sabri berkata, apa yang ditonjolkan oleh MILDEF telah membuktikan bahawa bakat dan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan kenderaan pertahanan berkualiti seperti dihasilkan negara luar, malah lebih hebat.
Sementara itu, sumber itu juga berkata, sistem persenjataan Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm yang digunakan oleh “Tarantula”telah dinaiktaraf bagi memberikannya kemampuan yang lebih mantap ketika melakukan penembakan.
Comments are closed.