Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Tarantula” HMAV 4×4 Buat Kemunculan Pada Latihan Kuasa Tembakan 2021

Adakah “kemunculan” Tarantula HMAV 4x4 pada LKT 2021 semalam itu merupakan suatu “quiet endorsement” daripada pihak ATM terhadap kenderaan tempur keluaran syarikat tempatan?

0 6,084

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam Latihan Kuasa Tembakan 2021 (LKT) yang berlangsung di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas telah menyaksikan kemunculan kenderaan “Tarantula” HMAV 4×4 (High-Mobility Armoured Vehicle) yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, MILDEF International Technologies Sdn Bhd.

Adakah “kemunculan” Tarantula HMAV 4×4 pada LKT 2021 semalam itu merupakan suatu “quiet endorsement” daripada pihak ATM terhadap kenderaan tempur keluaran syarikat tempatan, menandakan kemungkinan bahawa ia akan memasuki inventori Tentera Darat tidak lama lagi?

Menurut sumber,  selagi tiada “hitam putih” daripada pihak Kementerian Pertahanan, maka, setiap kenderaan tempur yang bersaing untuk memenangi kontrak ATM masih mempunyai peluang yang sama rata.

Bagaimanapun, kemunculan Tarantula HMAV 4×4 itu pada demonstrasi kuasa tembakan itu semalam adalah suatu perkembangan yang baik untuk industri pertahanan negara dan kita berharap industri strategik itu terus berkembang.

Diharapkan Kementerian Pertahanan terus memberikan sokongan kepada industri pertahanan tempatan.

Tarantula
Kenderaan Tarantula dengan Lipan Bara.

 

Bagi kenderaan Tarantula HMAV itu sendiri, admin juga dimaklumkan ia telah “dirisik” oleh beberapa pihak luar yang tertarik dengan kemampuannya.

“Beberapa agen syarikat asing telah pun menunjukkan minat,” kata sumber itu tanpa mendedahkan dengan lanjut.

Pihak-pihak luar yang tertarik dengan kenderaan perisai keluaran tempatan itu adalah daripada Timor Leste dan Nigeria, yang mahu menjadikan HMAV 4×4 sebagai salah satu kenderaan tempur untuk pasukan tentera dan agensi keselamatan mereka.

Laporan sebelum ini mengatakan, satu kolaborasi antara MILDEF dan syarikat tempatan di Timor Leste, Golden Dragon Machineries Unipersonal Lda. untuk memperkenalkan model tersebut serta menawarkan perkhidmatan selepas jualan di sana.

Selain itu, kerjasama itu turut menyentuh soal pertukaran teknologi antara dua negara Malaysia dan Timor-Leste.

Tarantula
Tarantula dengan Pendekar.

 

Kenderaan tempur Tarantula HMAV itu telah dibangunkan sendiri oleh MILDEF dengan keseluruhan tenaga kerjanya adalah anak-anak tempatan.

Tarantula yang dilaporkan dengan kos RM16 juta daripada “kocek sendiri” syarikat juga telah menjalani sesi ujian yang dilaksanakan oleh tim uji nilai Angkatan Tentera Malaysia termasuk menempuh perjalanan dan rintangan sejauh kira-kira 2,500km.

 “Antara ujian-ujian yang terpaksa dihadapi oleh kenderaan HMAV4x4 pada sesi uji nilai ATM itu termasuklah 30 degree climbing, 150 off road with combat load, side slope dan turun bukit,” kata sumber terbabit kepada Defence Security Asia.

Tarantula dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga yang paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi spesifikasi mana-mana negara yang ingin menggunakan aplikasi tersebut.

Dilengkapi dengan sistem persenjataan moden bersama grenade launcher, kenderaan tempur ini turut dilengkapi dengan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh atau Remote Control Weapon Station (RCWS) bagi membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur.

Tarantula

Tarantula HMAV4x4 dibina dengan dilengkapi perlindungan perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perlindungan perisai badan Stanag 4569 Level 2 untuk melindungi krew di dalam kenderaan tersebut.

Selain itu, syarikat turut bekerjasama dengan Caterpillar untuk membekalkan enjin yang lasak, berteknologi tinggi dan mampu bertahan di dalam apa jua situasi.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...