BAE Systems “Kehilangan Peluang” Projek Naik Taraf Pesawat Hawk
Sebelum adanya tender bagi pesawat-pesawat FLIT/LCA, TUDM telah pun menyuarakan hasratnya untuk menaiktaraf pesawat-pesawat Hawk dimilikinya, bagi membolehkan ia berkhidmat selama beberapa tahun lagi untuk tentera udara dan negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kini apabila tender Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18-36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) semakin menghampiri ke penghujungnya, terdapat sebuah syarikat yang berkemungkinan merasa kecewa kerana “terlepas peluang” mengaut kontrak bernilai ratusan juta ringgit atau lebih.
Syarikat itu adalah BAE System yang membangunkan pesawat-pesawat Hawk 108 dan 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dirancang untuk dinaiktaraf.
Sebelum adanya tender bagi pesawat-pesawat FLIT/LCA, TUDM telah pun menyuarakan hasratnya untuk menaiktaraf pesawat-pesawat Hawk dimilikinya, bagi membolehkan ia berkhidmat selama beberapa tahun lagi untuk tentera udara dan negara.
Program perolehan pesawat FLIT/LCA untuk TUDM tidak lagi wujud pada waktu itu.
TUDM merancang untuk menggunakan pesawat-pesawat Hawk itu selama 10 tahun lagi, dengan syarat pesawat itu perlulah dinaiktaraf bagi memastikan teknologi dan sistemnya selari dengan perkembangan terkini.
Kontraktor utama, sekiranya kerja-kerja menaiktaraf pesawat-pesawat Hawk TUDM itu dilaksanakan sudah semestinya adalah BAE Systems sebagai OEM dengan kerjasama beberapa syarikat tempatan seperti AIROD.
Dikatakan kerja-kerja menaiktaraf pesawat Hawk 208 itu akan melibatkan radar warning receiver yang baru, electronic countermeasures, digital video recorder, mission planning software serta kemungkinan besar radar yang baru bagi menggantikan radar Northrop Grumman APG-66H.
BAE dikatakan akan melaksanakan kerja-kerja rekabentuk, pembuatan dan menaiktaraf manakala AIROD akan terlibat dengan kerja-kerja integrasi, dengan kerja dilakukan di Malaysia dan mengambil masa tiga tahun.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Sudah pasti kerja-kerja menaiktaraf pesawat-pesawat Hawk TUDM untuk melengkapkannya dengan peralatan dan sistem terkini akan menelan belanja ratusan juta ringgit.
Pada ketika itu, selain program menaiktaraf pesawat Hawk, Kementerian Pertahanan tertumpu kepada pencarian sejumlah pesawat Multi Role Combat Aircraft (MRCA) untuk menggantikan pesawat-pesawat MiG-29 buatan Russia, yang dikatakan menelan belanja yang tinggi untuk kita terus mengoperasikannya.
Malaysia memperolehi pesawat-pesawat Hawk itu hasil Memorandum Persefahaman antara Malaysia dengan United Kingdom pada Disember, 1990 untuk 10 buah pesawat Hawk 108 dan lapan Hawk 208.
Negara mula memperolehi pesawat-pesawat Hawk itu secara berperingkat bermula pada tahun 1994.
Kini, tiada lagi projek menaiktaraf pesawat-pesawat Hawk milik TUDM itu atau MRCA dan sebaliknya telah digantikan dengan program perolehan 18 pesawat FLIT/LCA yang dianggarkan bernilai sehingga RM4 bilion.
BAE Systems terlepas peluang meraih kontrak menaiktaraf pesawat-pesawat Hawk itu.
TUDM dijangka akan menamatkan perkhidmatan Hawk miliknya apabila pesawat-pesawat FLIT/LCA yang baru itu diterima kelak. — DSA