Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat F/A-18D Hornet TUDM, Berusia Tapi Makin Berbisa

Kemampuan pesawat-pesawat Hornet kita tidak sesekali boleh diperkecilkan dan diperakui sendiri oleh tentera udara serantau dan itu tidak termasuk kemampuan juruterbang kita yang diiktiraf sebagai “one of best trained fighter pilots in the world.” “Don't mess with our fighter pilot or you will get a bloodied nose.”

0 13,871

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mula mengoperasikan lapan buah pesawat pejuang F/A-18D Hornet pada tahun 1997 selepas penghantaran pesawat-pesawat itu daripada kilangnya milik Boeing (dahulu McDonnel Douglas) di St Louis, Missouri, Amerika Syarikat.

Mengikut usianya, pesawat-pesawat F/A-18D Hornet milik TUDM sudah hampir memasuki 25 tahun.

Mengikut perancangan yang dinyatakan oleh Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, pesawat-pesawat Hornet kita (dan juga Sukhoi Su-30MKM) akan terus digunakan sehingga tahun 2035 dan 2040 selepas menjalani program SLEP (Service Life Extension Program) yang extensive untuk “memanjangkan usia” kedua-dua pesawat pejuang itu.

Fokus utama TUDM pada ketika ini adalah kepada program perolehan Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang sedang berlangsung dan sebarang cadangan untuk mendapatkan pesawat-pesawat Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru hanya selepas selesainya perolehan FLIT/LCA itu.

Dan jika kita menjangkan program perolehan FLIT/LCA itu akan selesai pada akhir Rancangan Malaysia ke-13 (tahun 2026-2030 untuk perolehan 36 pesawat), maka program perolehan pesawat MRCA hanya akan bermula pada RMK-14 (tahun 2031-2035) dan RMK-15 (2036-2040).

Hornet

Ini bermakna pesawat-pesawat Hornet atau Su-30MKM perlu berkhidmat sekurang-kurangnya sehingga tahun 2035-2040 sebelum kita mendapatkan pengganti mereka.

Jika pada tahun 2040, usia pesawat F/A-18D Hornet kita sudah mencapai hampir 45 tahun dan berkemungkinan menghampiri rekod tempoh perkhidmatan helikopter Nuri kita yang baru sahaja ditamatkan perkhidmatannya baru-baru ini selepas puluhan tahun menabur bakti kepada TUDM dan angkatan tentera.

Walaupun sudah agak berusia, tetapi pesawat-pesawat F/A-18D Hornet kita bukan calang-calang pesawat dan telah menjalani beberapa usaha naiktaraf sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan TUDM menjadikan ia pesawat yang setanding dengan pesawat-pesawat pejuang yang lain.

Kemampuan pesawat-pesawat Hornet kita tidak sesekali boleh diperkecilkan dan diperakui sendiri oleh tentera udara serantau dan itu tidak termasuk kemampuan juruterbang kita yang diiktiraf sebagai “one of best trained fighter pilots in the world.”

“Don’t mess with our fighter pilot or you will get a bloodied nose.”

Hornet
Joint Helmet Mounted Cueing System (JHMCS)

 

Antara program naiktaraf paling besar yang telah dilalui oleh pesawat-pesawat Hornet kita berlaku pada 2011 di bawah projek Foreign Military Sales (FMS) kerajaan Amerika Syarikat bernama “Engineering Change Proposal” dan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak pembuat pesawat itu telah berlangsung sehingga 2015 apabila pesawat menghampiri hari jadi ke-20 tahunnya.

Kerja-kerja naik taraf itu dilakukan di kemudahan Boeing di St Louis, Missouri serta di Butterworth.

Usaha-usaha menaiktaraf itu telah dilakukan secara berfasa dan ia bertujuan untuk menjadikan pesawat Hornet kita lebih berkemampuan dan berkeupayaan di dalam melaksanakan misi-misi udara-ke-udara dan udara-ke-daratnya.

GBU-12 Paveway
Bom panduan laser GBU-12 Paveway

Kerja-kerja menaiktaraf itu menyaksikan pesawat-pesawat Hornet TUDM diintergrasikan dengan kemampuan dan teknologi baru termasuk Joint Helmet-Mounted Cueing System (JHMCS) yang dibangunkan oleh Boeing, kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X, GPS guidance kits untuk Joint Direct Attack Munitions (JDAM)  dan Advanced Targeting Forward-Looking Infrared (ATFLIR) targeting pods bagi menggantikan Nite Hawk Targeting Pods yang digunakan oleh pesawat Hornet TUDM sebelum ini.

Pemerhati pertahanan pada ketika itu mengatakan kerja-kerja naiktaraf pesawat F/A-18D Hornet kita telah menjadikan ia setanding dengan varian pesawat F/A-18E/F Super Hornet Block 1.

Antara kemampuan utama yang diperolehi oleh TUDM selepas kerja-kerja naiktarak ke tahap “25X Standard” itu adalah helmet JHMCS yang menjadikan pesawat-pesawat Hornet kita sukar ditandingi dalam pertarungan udara-ke-udara serta misi memusnahkan sasaran di daratan.

ATFLIR
ATFLIR Targeting Pod oleh Raytheon.

 

Helmet JHMC membolehkan segala maklumat tentang penerbangan dan sasaran dipancarkan terus ke visor juruterbang.

Juruterbang hanya perlu memandang ke sasaran dan melancarkan apa sahaja sistem persenjataan dimiliki pesawatnya.

Sementara itu pesawat Sukhoi Su-30MKM yang berpengkalan di Gong Kedak, Terengganu juga sedang menjalani program SLEP bernilai RM2.2 bilion yang akan menyaksikan pesawat pejuang negara itu berkhidmat untuk lebih 15 tahun lagi dengan TUDM.

Kerja-kerja SLEP dan naiktaraf itu dilakukan oleh syarikat Aerospace Technology Systems Corp (ATSC).

Kerja-kerja “Preventive and Restoration Works” itu akan menyaksikan pesawat-pesawat Su-30MKM berkhidmat sehingga 2035.

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet TUDM .

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...