Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Sedang Bina “Pangkalan Tentera Yang Lengkap” Di Laut China Selatan

1,507

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Gambar-gambar satelit terbaru menunjukkan China sedang membina “pangkalan tentera yang lengkap” di salah sebuah pulau buatan manusia yang didudukinya secara haram di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Imej satelit yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat software, Simularity menunjukkan pembinaan beberapa buah infrastruktur untuk menempatkan radar, antenna komunikasi di pulau buatan manusia yang dinamakan “Mischief Reef” di Kepulauan Spratly tidak jauh daripada Sabah.

MIschief Reef

Mischief Reef ini pada mulanya hanyalah atoll atau terumbu berbentuk cincin sebelum China yang mendudukinya secara haram pada 1995 telah melakukan penambakan secara besar-besar untuk menjadikannya pulau buatan manusia.

Pulau buatan manusia itu hanya terletak kira-kira 250km daripada Filipina. Menurut syarikat software itu lagi, kerja-kerja pembinaan dikesan berlaku di tujuh lokasi di pulau buatan manusia itu bermula daripada Mei tahun lepas sehingga Februari tahun ini dan ia meliputi usaha-usaha untuk menjadikan pulau buatan manusia sebagai sebuah pangkalan tentera yang lengkap. Nampaknya COVID-19 tidak merencatkan usaha China untuk menguasai perairan yang penting bagi perdagangan dunia itu.

MIschief
Gambar satelit menunjukkan aktiviti membina kemudahan antena dan radar di Mischief Reef.

Bercakap kepada portal berita Australia, pakar maritim Filipina Dr Jay Batongbacal berkata, aktiviti pembinaan itu menunjukkan China sedang mengukuhkan kedudukannya di pulau buatan manusia itu dan Laut China Selatan.

“Penambahan kemudahan-kemudahan seperti radar sememangnya menunjukkan bahawa mereka (China) sedang meningkatkan kemampuan mereka di pulau buatan manusia itu. Walaupun menerima kecaman hebat atas pendudukan haramnya di pulau-pulau buatan manusia itu, tetapi China memang berniat untuk membangunkan pulau buatan manusia kepada sebuah pangkalan tentera yang lengkap,” katanya.

Mischief Reef ini menurut keputusan oleh Permanent Court of Arbitration di The Hague pada 2016 menyatakan terumbu karang itu berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina.

Walaupun begitu, keputusan itu tidak mampu mengubah keadaan dengan China terus menduduki secara haram Mischief Reef.

Beijing bukan sekadar menduduki secara haram pulau buatan manusia itu, tetapi berkeras untuk menjadikannya sebagai sebuah pangkalan tentera terpentingnya di Laut China Selatan.

Nampaknya China memang tidak akan berganjak daripada pulau buatan manusia itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.