[VIDEO] China Dedah Video Insiden Pergaduhan Tenteranya Dengan Tentera India Di Sempadan
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Buat pertama kali sejak berlakunya pergaduhan antara tentera China dan India di Lembah Galwan di sempadan kedua-dua negara pada Jun lepas, pihak berkuasa China telah mengeluarkan video tentang kejadian itu.
Pergaduhan antara tentera India dan China tanpa menggunakan senjata api itu berlaku pada 15 Jun tahun lepas.
(SILA LIKE DAN SUBSCRIBE CHANNEL YOU TUBE “DEFENCE SECURITY ASIA”)
Menurut tentera India, sebanyak 20 anggota tenteranya terbunuh dalam kejadian pergaduhan itu termasuk seorang berpangkat kolonel. Kebanyakkan tentera India yang terbunuh itu akibat dipukul dengan kayu berpaku,dibaling batu, jatuh daripada curam tinggi malah ada juga yang mati lemas.
Manakala bagi China pula, video yang buat pertama kali disebarkan itu mengesahkan empat anggota tenteranya terbunuh dalam kejadian pergaduhan itu. Ia turut mendedahkan identiti keempat-empat anggota tentera China yang terbunuh itu. Dalam video itu, China mendakwa pergaduhan itu berlaku apabila tentera India menyeberang sempadan kedua-dua negara itu dan mencerobohi wilayah China seterusnya menyebabkan pergaduhan.
Sebelum kejadian pergaduhan di Lembah Galwan Jun tahun lepas itu, tentera kedua-dua negara berkuasa nuklear itu telah bergaduh beberapa kali di kawasan sempadan kedua-dua negara itu.
China mengeluarkan video itu selepas hampir lapan bulan mendiamkan diri tentang kematian dan kecederaan menimpa anggota tentera mereka dalam pergaduhan itu.
Walaupun China mendakwa hanya empat anggota tenteranya terbunuh dalam pergaduhan itu, ramai pemerhati menyatakan bilangan tentera China yang maut adalah jauh lebih tinggi.
Sumber-sumber di Hong Kong mengatakan sebanyak 60-80 anggota tentera China terbunuh dalam pergaduhan itu tetapi kerajaan China merahsiakannya kerana tidak mahu merendahkan moral rakyatnya.
Sejak daripada insiden pergaduhan itu, India dan China telah menambah anggota tentera serta aset-aset ketenteraan mereka di sempadan kedua-dua negara itu.
Keadaan di sempadan India dan China terus tegang sehingga kini.
Comments are closed.