Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Tunggu Dan Sabar,” Kata Peguam Negara Tentang Kes Muhammad Adib

500

(DEFENCE SECURITY ASIA) — “Tunggu dan sabar, kami akan buat keputusan nanti,” kata Peguam Negara, Idrus Harun.

Itu adalah reaksi Idrus ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Idrus
Peguam Negara, Idrus Harun.

Masih belum nampak sebarang pengakhiran, pelbagai pihak kembali membangkitkan kes tersebut sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Idrus tidak menyatakan secara khusus berapa lama lagi tempoh diperlukan Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan berkenaan. Idrus berkata pihaknya akan mengeluarkan keputusan berhubung siasatan kes terbabit kemudian. “Kami akan mengeluarkan keputusan kemudian,” katanya kepada portal berita, Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Bomba

Muhammad Adib berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah semasa bertugas di pekarangan Kuil Sri Mahamariamman pada 27 Nov 2018.

Dia akhirnya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018. Bagaimanapun punca kematiannya dipertikaikan sama ada akibat diserang atau kerana kemalangan.

Inkues yang dijalankan memutuskan – pada 27 Sept 2019 – kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Namun sehingga kini belum ada mana-mana orang ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu sama Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberitahu Malaysiakini hanya Jabatan Peguam Negara yang boleh melaporkan status kes berkenaan.

Ketika ditanya adakah ia bermaksud polis sudah melengkapkan siasatan dan hanya menunggu keputusan peguam negara, Abdul Hamid berkata ringkas: “Pihak peguam negara akan keluarkan kenyataan.”

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.