Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

STRIDE, ATM Bantu Bangunkan Kenderaan Perisai Mobiliti Tinggi “HMAV 4×4”

0 827

(DEFENCE SECURITY ASIA) –Usaha membangunkan kenderaan perisai mobiliti tinggi pertama negara yang dipanggil “HMAV4x4”  telah  mendapat bantuan daripada Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Perkara itu dinyatakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu posting menerusi akaun Facebook-nya hari ini.

MILDEF
Gambar oleh MILDEF

Menurut ATM, kenderaan berperisai HMAV 4×4 telah dibangunkan oleh pihak MILDEF International Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat Malaysia yang menyediakan perkhidmatan automotif untuk industri pertahanan.

Dalam membangunkan kenderaan HMAV4x4 itu, STRIDE dan ATM telah bertindak sebagai penasihat bagi reka bentuk termasuk pembangunan kenderaan mengikut aplikasi standard ketenteraan. Usaha yang dijalankan oleh pihak MILDEF sejak empat tahun lalu bertujuan untuk menyelesaikan cabaran sokongan yang bergantung kepada pembekal antarabangsa selain membantu aset pertahanan dalam usaha memantapkan pertahanan negara untuk masa akan datang dengan menggunakan teknologi dan kepakaran tempatan.

MILDEF
Gambar oleh MILDEF

Dilengkapi dengan fungsi artileri, grenad dan anti periuk api, ia turut dipasang dengan tenggekan senjata kawalan jauh atau Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkan turet senjata kenderaan itu menembak secara 360 darjah semasa bergerak.

HMAV4x4 juga mampu bergerak pantas di atas pelbagai bentuk muka bumi malah boleh mencapai kelajuan 110 kilometer sejam.

Diharapkan dengan adanya usaha yang seumpamanya dapat memberikan suntikan baru dalam penghasilan teknologi tempatan setaraf peringkat antarabangsa terutamanya dari aspek ketenteraan. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam penghasilan kenderaan ini.

Syarikat MILDEF yang dimiliki 100 peratus oleh usahawan Bumiputera telah melancarkan HMAV4x4 empat hari lepas.

Kenderaan HMAV4x4 itu bakal diuji oleh tim penilai ATM selepas ini, yang akan menentukan sama ada ia akan diterima dalam perkhidmatan angkatan tentera.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...